- Iklan -
Berita

Jangan panik, kata Muhyiddin ketika kerajaan umum PKPD bersasar

Kerajaan sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada kementerian kesihatan berhubung peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Facebook

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar akan dilaksanakan di kawasan-kawasan berlakunya peningkatan kes Covid-19 dan memberi jaminan tidak akan menggembalikan semula Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

Dalam satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, beliau menyeru agar orang ramai tidak berasa panik dan membuat andaian berhubung situasi yang sedang dihadapi.

“Elakkan penyebaran berita-berita palsu yang boleh menyebabkan kita keliru,” katanya.

Perutusan Muhyiddin dilakukan selang beberapa minit selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah selesai mengumumkan perkembangan harian kes Covid-19.

Muhyiddin berkata, beliau mengalu-alukan pandangan ramai dalam usaha membendung penularan wabak itu dan pandangan yang baik akan dibawa kepada perbincangan dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Muhyiddin juga menggesa agar orang ramai tidak menunding jari kepada mana-mana pihak selepas peningkatan Covid-19 direkodkan sejak beberapa hari berturut-turut.

“Saya tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah yang sedang dihadapi oleh negara.

“Jangan kita pedulikan mereka. Kita mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara bersama.”

Katanya, kerajaan menyedari wujud kerisauan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka di sekolah, dan menambah hanya sekolah di kawasan zon merah seperti di Sabah bakal ditutup.

Bagaimanapun, katanya, sebarang arahan penutupan sekolah di seluruh negara hanya akan diputuskan mesyuarat khas MKN.

Beliau menegaskan, sebarang arahan melibatkan sekatan rentas negeri hanya akan diputuskan MKN.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengubah tarikh pelaksanaan larangan perjalanan keluar dan masuk Sabah yang dijadualkan esok kepada 12 Oktober bagi memberi laluan kepada mereka yang terlibat untuk membuat persiapan.

Tiada “double standard”

Pada perkembangan sama, Muhyiddin turut meluahkan rasa kesalnya yang mendapati ramai orang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membendung wabak Covid-19.

Beliau berkata, secara peribadi dirinya pernah menyaksikan sendiri pelanggaran SOP seperti tidak mematuhi penjarakan sosial sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

Beliau turut menyangkal dakwaan terdapat unsur “double standard” dalam pelaksanakan SOP, mengatakan beliau sendiri melakukan kuarantin kendiri di rumah.

“Ini adalah kali kedua saya menjalani kuarantin di rumah sejak pandemik Covid-19 melanda negara kita. Saya mesti patuh kepada peraturan.”

Dengan nada yang lebih rendah, Muhyiddin mengatakan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap rakyat Malaysia yang enggan mematuhi SOP kesihatan yang ditetapkan.

“Maafkan jika Abah ini mula menggunakan rotan,” katanya.