- Iklan -
Berita

115 kes baru Covid-19, Sabah masih tertinggi

Beliau berkata daripada keseluruhan 112 penularan dalam negara, 11 daripadanya mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah masih mencatatkan kes tertinggi Covid-19. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah masih mencatatkan kes tertinggi Covid-19. Gambar: Bernama

Kes baru Covid-19 di negara ini kekal tiga angka iaitu sebanyak 115 kes dengan Sabah masih menjadi negeri menyumbang kes positif tertinggi melibatkan 98 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah kes baru dilapor itu melibatkan 112 penularan tempatan membabitkan 98 warganegara dan 14 kes bukan warganegara, serta tiga kes import.

Beliau berkata daripada keseluruhan 112 penularan dalam negara, 11 daripadanya mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Kes tempatan hari ini melibatkan Sabah (98 kes), Selangor (10 kes), manakala Terengganu, Melaka, Kedah dan Labuan masing-masing satu kes, sementara tiga kes import pula melibatkan mereka yang pulang dari India

“Terdapat pertambahan kluster di Selangor iaitu Kluster Jalan Apas, dan tiada kematian baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia melepasi angka 11,000 dengan 11,034 kes, sementara kes aktif kebolehjangkitan ialah 1,011 kes manakala terdapat 54 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih ialah 9,889 kes.

Kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah lapan dengan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Memperincikan Kluster Jalan Apas, Dr Noor Hisham berkata kes tersebut melibatkan pasangan suami isteri warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah, dari 13 hingga 16 Sept lepas.

“Kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk, dan selesema pada 18 Sept yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 Sept. Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 Sept.

“Mereka didapati positif pada 26 Sept dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata hasil saringan kontak rapat mendapati enam lagi positif pada 27 Sept dan sehingga kini, seramai 66 individu disaring dengan dua lagi masih menunggu keputusan.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi terbabit dan punca jangkitan masih dalam siasatan, katanya.

Bagi perkembangan kes positif kluster-kluster yang aktif, Dr Noor Hisham berkata terdapat 46 kes baru yang dilaporkan bagi Kluster Bangau-Bangau, Sabah pada hari ini menjadikan kes positif keseluruhan kluster itu sebanyak 225 kes.

Sementara bagi Kluster Benteng LD (Sabah), terdapat 39 kes baru yang melibatkan 34 kes di Tawau dan lima di Lahad Datu menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam kluster berkenaan sebanyak 873 kes.

“Terdapat dua kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Pulau (Sabah) menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 49 kes, manakala bagi Kluster Buang Sayang (Sabah) dan Kluster Sungai di Kedah masing-masing satu kes baru dicatatkan,” katanya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna di Sabah yang berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini, Dr Noor Hisham berkata seramai 962,661 penduduk akan disaring di keempat-empat daerah tersebut.

Beliau berkata saringan bersasar akan dilakukan bagi komuniti setempat dan kumpulan berisiko tinggi meliputi lima peratus daripada jumlah penduduk.

“Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus menjalankan langkah kawalan dan pencegahan di keempat-empat daerah ini dan pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPDB.

“Kerjasama daripada penduduk setempat adalah amat diperlukan bagi memastikan tindakan ini berjaya memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dalam negara kita,” katanya.