- Iklan -
Berita

1,088,711 rakyat Sabah mula mengundi 7.30 pagi ini

SPR menganggarkan antara 70% hingga 75% pengundi akan keluar mengundi.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Party flags and posters seen along a road in Kota Kinabalu, Sabah, where voters decide on a new state government on Sept 26. Photo: Bernama
Party flags and posters seen along a road in Kota Kinabalu, Sabah, where voters decide on a new state government on Sept 26. Photo: Bernama

741 pusat mengundi yang membabitkan 2,540 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dibuka bermula jam 7.30 pagi ini.

Bagi PRN ke-16 kali ini, sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan seramai 476 calon bakal mengetahui nasib masing-masing.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh, berkata semua pusat mengundi ditutup secara berperingkat berdasarkan jumlah pengundi yang ada di kawasan berkenaan dengan waktu terakhir penutupan jam 5 petang.

“Bagi kawasan yang jauh, ada yang menggunakan helikopter untuk menghantar dan membawa balik kotak undi. Biasanya, kawasan ini ditutup awal, ada yang jam 2 atau jam 3 petang sudah ditutup,” katanya memetik laporan media.

Ekoran peningkatan kerusi DUN Sabah kali ini iaitu 73 berbanding 60 kerusi sebelum ini, SPR melantik seramai 30,540 petugas bagi mengendalikan proses PRN Sabah ke-16.

SPR menganggarkan antara 70% hingga 75% pengundi akan turun menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRN kali ini.

Pada hari pengundian hari ini, seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa yang berdaftar di Sabah layak mengundi untuk memilih 73 wakil DUN, manakala sebanyak 14,935 lagi mengundi secara pos.

DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu bagi memberi laluan kepada PRN untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

SPR sebelum ini mengumumkan sebanyak RM186 juta digunakan untuk mengendalikan proses pilihan raya berkenaan.