Wednesday, May 18, 2022

Sketsa politik baru

Agenda pengundi muda atau Undi 18 perlu diteroka dalam usaha memberi lebih banyak pencerahan politik demi membuka naratif politik baru.

Other News

Dari segi umur, saya sudah semakin menua berbanding ‘budak-budak baru nak up’ (BBNU). Maka saya mungkin dilihat dan ditafsir sudah mandom macam abang-abang mereka yang sudah mula duduk di surau.

Saya pinjam istillah BBNU ni daripada mereka juga. Harapnya konsep ini saya tak salah gunakan untuk kepentingan diri saya.

Pagi 22 Januari 2022, hari ini dikatakan akan ada rapat umum untuk tunjuk perasaan kebencian rakyat pada skandal pegawai kanan kerajaan.

Saya bukan anti demo, bukan. Bagi saya rapat umum ni sama saja dengan acara demonstrasi seperti sebelum-sebelum ini seperti demonstrasi Bersih. Cuma bezanya tak ada lagi dah penghasut-penghasut lama seperti Hishamudin Rais a.k.a. tukartiub. Tak ada lagi Malek Hussin, Tian Chua, Maria Chin, Ambiga dan lain lain. Semua mereka ini sudah kaput.

Pagi 22 Januari ini, saya menyilang kaki duduk di satu restoran milik anak Johor di Bangi sambil makan kacang pool bersama roti panggang dan ditemani dengan segelas kopi O kosong jenis 434 dari Muar. “Meal” ini tak lengkap tanpa disulami dengan dua keping biskut kering.

Pagi ini hujan renyai, agak dingin. Ia menambahkan lagi aroma kopi O kaw saya dengan hidangan iringan pembuka selera. Sedap sungguh saya bersarapan sambil mengikuti perkembangan BBNU bersiap untuk berdemo.

Biasanya demo sebegini akan menjadi “training ground” untuk BBNU. Ia sebagai persiapan menjadi pemimpin baru yang akan mengambil alih peranan lembu-lembu lama yang masih menguak di dalam parti pembangkang.

Bukan saya memperlekeh BBNU ni buat demo, atau saya tak hargai pemimpin lama, bukan. Cuma gerakan politik demo ini kita sudah boleh baca akan hasilnya. Pertama, Azam Baki tak terkesan apa-apa pun. Ini pun bagi saya kita dah tahu dan tak harap apa-apa pun.

Tapi yang kedua, daripada demo ni kita boleh agak akan ada tangkapan ke atas para demonstran. Hasil daripada tangkapan ini akan muncullah hero-hero yang baru.

Apa masalah disini? Tak ada masalah, cuma kita akan menghasilkan lagi lembu-lembu baru dalam politik kita.

Bila kita nak buka wacana naratif politik baru, demo ini hanya akan menghasilkan lembu-lembu baru dalam politik, bukan politik baru. Ini yang menjadi ironinya.

Di samping kita terpaksa melayan beban politik lembu-lembu lama ini, kita terus menghasilkan lagi lembu-lembu yang baru. Kita? Siapa kita? Kitalah, aku, engkau, netizen, ahli parti, pengundi, bapak kau, bapak aku – kita.

Jadi apa maksud kita perlukan naratif politik baru? Saya ada jawapannya, cuma saya kira jawapan saya itu tak penting. Minat kita hari ini masih lagi dengan politik lama, politik reaksioner dan politik personaliti.

Baru-baru ini saya ada membaca pandangan dua pemimpin muda, Hilman Idham dan Sheikh Umar. Dua mamat ni dari parti yang berbeza, namun pandangan mereka hampir sama dalam konteks pengundi muda atau Undi 18.

Bagi aku yang sudah berumur “abang-abang”, agenda pengundi muda atau Undi 18 ini sangat berpotensi untuk diteroka dalam erti kata untuk memberi lebih banyak pencerahan politik demi membuka naratif politik baru.

Cuma jalannya tak mudah dan popular seperti turun demo. Tapi ia tetap kerja politik yang sama taraf kemuliaannya.

Kita tak boleh biarkan pengundi muda ini turun mengundi dalam PRU 15 dalam keadaan bermata rabun macam lembu-lembu politik yang lain.

Saya membayangkan, pemimpin-pemimpin muda bergerak di kafe-kafe dan warung bersama anak muda sambil memberi pencerahan kepada pengundi muda tanpa perlu demo ala-ala Bersih atau Reformasi. Zaman tu sudah berlalu.

Zaman “fact check”, zaman “fact and figure” atau zaman IOT ini, pengundi muda harus dibawa dalam kuliah di café atau warung untuk memahami “fact and figure” politik zaman ini. Ini makanan bagi pengundi muda yang berjuta-juta itu. Ini bekalan untuk mereka turun mengundi pada PRU15.

Kerja ni mungkin lebih susah dan ramai yang tak minat. Sama seperti jawapan apa itu politik baru? Jawapannya tak menarik pun.

Yang menariknya, demo TangkapAzamBaki ini. Tapi ia hanya salah satu sketsa lama yang diulang semula dengan harapan politik baru akan muncul pada tahun 2022.

Tapi, adakah mungkin ini permulaanya? Mungkin, siapa tahu.

Mahdzir bin Ibrahim adalah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles