Monday, January 24, 2022

Undang-undang mesti patuhi moral dalam aspek perkahwinan kanak-kanak

Penggubal undang-undang perlu mengambil inisiatif untuk membuat pindaan berkenaan umur minima kanak-kanak yang sah untuk berkahwin.

Other News

Perkahwinan kanak-kanak telah menjadi amalan biasa dalam masyarakat Malaysia terutama ketika zaman nenek moyang kita. Setelah peredaran zaman, berkahwin pada usia yang muda menjadi buah mulut dan kecaman netizen kerana beberapa faktor antaranya kewangan, kesihatan dan keganasan rumah tangga.

Berbincang soal kewangan dan kesihatan, pandemik Covid-19 menimbulkan keresahan orang sekeliling apabila berita soal puluhan kanak-kanak di Asia dipaksa berkahwin akibat kemiskinan yang terdesak. Persoalannya, adakah kehidupan pasangan yang berkahwin atas dasar terdesak ini akan bahagia dan terjamin?

Kes perkahwinan kanak-kanak yang paling banyak diperdebatkan berlaku pada tahun 2018 di mana seorang imam berumur 41 dilaporkan mengahwini seorang gadis berusia 11 tahun bernama Ayu, sebagai isteri ketiganya tanpa mendapat persetujuan daripada mahkamah di Kelantan.

Malah, isu perkahwinan kanak-kanak masih lagi meningkat di Malaysia dan ia telah menimbulkan kebimbangan orang ramai dan pelbagai kritikan secara keseluruhan.

Berdasarkan peruntukan-peruntukan yang sedia ada, Seksyen 10 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 menyatakan bahawa akad nikah akan terbatal jika salah seorang pasangan berumur 18 tahun ke bawah kecuali bagi perempuan yang telah genap 16 tahun, akad nikah itu dibenarkan dan sah jika menerima lesen yang diberikan oleh menteri besar di bawah subseksyen 21(2).

Seksyen 4 Akta Umur Majoriti 1971 pula membenarkan mereka yang tidak mencapai umur 18 tahun untuk berkahwin sekiranya mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian.

Walaupun begitu, peruntukan mengenai perkahwinan awal ini ditentang oleh masyarakat yang menganggap perbuatan ini tidak bermoral.

Moral adalah budi pekerti dan akhlak yang baik sejajar dengan tatasusila masyarakat.

Secara umum, ia ditakrifkan sebagai segala cara peraturan, prinsip atau norma yang mengawal  hubungan mereka dengan diri mereka sendiri dan orang lain. Berdasarkan ahli falsafah Hart, pembinaan undang-undang berdasarkan moral amat digalakkan kerana ia akan menambah baik kesejahteraan sesebuah masyarakat.

Konsep ini dikenali sebagai paternalisme di mana keputusan terbaik untuk individu dan masyarakat akan diutamakan. Dengan erti kata lain, apabila masyarakat memandang sesuatu perbuatan itu akan membawa kepada kemaslahatan setempat, secara tidak langsung ia menjadi satu obligasi kepada individu untuk mematuhinya.

Manakala, jika masyarakat menganggap sesuatu perbuatan itu membawa kepada keburukan dan kemudaratan pada masa akan datang, perkara itu perlu dielakkan secara serta merta.

Dalam isu perkahwinan pada usia muda, netizen melihat kanak-kanak sebagai orang yang tidak matang dan tidak mempunyai kewangan yang stabil sedangkan sesebuah rumahtangga memerlukan komitmen yang tinggi untuk menyara keluarga.

Ekonomi yang bertambah pesat dari tahun ke tahun menyebabkan kos sara hidup semakin meningkat. Perubahan zaman menyebabkan berkahwin awal tidak lagi relevan di mana orang terdahulu tidak terbeban dengan kos sara hidup. Perbandingan mudah dapat dilihat daripada RM10 di mana suatu ketika dahulu ianya dianggap satu jumlah yang besar sedangkan zaman sekarang, jumlah itu hanya dapat membeli sebungkus nasi beriyani.

Oleh itu, penggubal undang-undang perlu mengambil inisiatif untuk membuat pindaan berkenaan umur minima kanak-kanak yang sah untuk berkahwin. Walaupun terdapat kritikan yang dibuat oleh ahli falsafah Mill di mana beliau mengatakan konsep paternalisme telah melanggar hak seseorang untuk berkahwin, pindaan umur daripada 16 kepada 18 tahun adalah wajar untuk kebaikan semua pihak dan mengelakkan implikasi pada masa akan datang.

Hal ini kerana gadis berusia bawah 18 tahun dianggap masih tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai orang dewasa. Selari dengan pendapat Pesuruhjaya Kanak-kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), kanak-kanak perlu lebih mementingkan pendidikan dan pembelajaran maka, ia dapat mengelakkan kanak-kanak daripada terus keciciran dan terjebak dengan perkahwinan di usia muda.

Aliah Adlina Hisshamuddin adalah pelajar undang-undang di UKM dan Shahrul Mizan Ismail adalah profesor madya di Fakulti Undang-Undang UKM.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow 

 

 

 

 

 

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles