- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Sabah bukan anak tiri, Anwar diingatkan ketika Guan Eng raikan projek berbilion ringgit untuk Pulau Pinang

Seorang pemimpin PAS di Sabah membangkitkan isu pembangunan tidak seimbang sambil mengingatkan mengenai masalah jaringan jalan raya yang masih daif di negeri itu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Masih banyak kawasan di Sabah tidak dilengkapi dengan sistem jalan raya yang sempurna.
Masih banyak kawasan di Sabah tidak dilengkapi dengan sistem jalan raya yang sempurna.

Kenyataan penasihat DAP Lim Guan Eng memuji setiausaha agung partinya yang menawarkan peletakan jawatan Kabinet baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai sikap Putrajaya dalam mengimbangi pembangunan infrastruktur kerajaan pusat.

Seorang pemimpin pembangkang Sabah mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa negeri itu terus berdepan masalah jalan raya dan jaringan perhubungan yang mundur, keadaan yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, kubu kuat DAP selama hampir dua dekad yang menyaksikan projek pengangkutan bernilai berbilion ringgit.

Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain, menuntut kerajaan menjelaskan mengapa ia boleh memperuntukkan RM21 bilion untuk projek infrastruktur di Pulau Pinang sedangkan rakyat Sabah masih bergelut dengan masalah asas seperti jalan raya, di samping Lebuh Raya Pan Borneo yang masih belum siap.

“Sabah tidak meminta layanan istimewa. Sabah menuntut keadilan pembangunan,” kata Mustaman.

Menurutnya, pihaknya tidak mempertikai hak Pulau Pinang menerima pembangunan, tetapi kerajaan persekutuan perlu memastikan belanjawan infrastruktur negeri itu setimpal dengan keperluan dan kedudukannya dalam Malaysia.

Beliau berkata Sabah, dengan keluasan tanah kira-kira 70 kali ganda lebih besar daripada Pulau Pinang dan jaringan jalan raya lebih 1,500km di bawah bidang kuasa persekutuan, hanya menerima dana penyelenggaraan sebanyak RM341.7 juta tahun lepas.

Katanya, walaupun Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM200 juta untuk 178 projek penyelenggaraan jalan persekutuan di Sabah, termasuk kerja naik taraf berkala, timbul persoalan sama ada jumlah itu mencukupi.

“Adakah peruntukan tersebut memadai untuk menampung keperluan sebenar sebuah negeri yang mempunyai jaringan jalan yang luas serta bentuk muka bumi dan taburan penduduk yang mencabar?” soal Mustaman.

Minggu lalu, Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, memuji Anthony Loke sambil berkata tempoh perkhidmatannya sebagai menteri pengangkutan telah menyaksikan Pulau Pinang menerima pelaburan infrastruktur daripada kerajaan persekutuan bernilai lebih RM21 bilion.

Lim menyenaraikan projek seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM16.8 bilion, projek pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM1.55 bilion, Pelabuhan Pulau Pinang bernilai RM2.2 bilion, Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier bernilai RM500 juta dan naik taraf stesen kereta api KTM bernilai RM30 juta.

Lim berkata Loke “mungkin merupakan antara menteri pengangkutan paling berkesan yang telah melakukan paling banyak untuk Pulau Pinang”.

“1.8 juta rakyat Pulau Pinang menghargai pengorbanan Loke yang melepaskan jawatan menteri demi prinsip dan pastinya akan berterima kasih kepada Loke atas sumbangan besar beliau kepada Pulau Pinang,” tambahnya, merujuk kepada pengumuman Loke menawarkan peletakan jawatan daripada Kabinet sebagai tanda bantahan DAP terhadap keputusan Lembaga Pengampunan mengenai bekas perdana menteri, Najib Razak.

Baru-baru ini, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang turut dianggotai menteri dari DAP, Hannah Yeoh, membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kedaulatan undang-undang dan layanan saksama terhadap banduan.

Mustaman berkata walaupun peruntukan sebanyak RM1.67 bilion sudah disalurkan tahun ini untuk Lebuh Raya Pan Borneo yang melalui negeri Sabah, projek tersebut masih belum disempurnakan.

“Rakyat Sabah masih menunggu penyempurnaan keseluruhan projek tersebut, sedangkan Pan Borneo merupakan antara projek infrastruktur paling penting untuk menghubungkan daerah-daerah Sabah dan merancakkan kegiatan ekonomi negeri.”

Beliau berkata perbezaan yang dilihat di Pulau Pinang menunjukkan kurangnya perhatian yang adil terhadap keperluan infrastruktur Sabah, sambil menambah ukuran sebenar bukan semata-mata angka yang diumumkan dalam belanjawan tetapi jumlah jalan yang sudah dibaiki, projek yang sudah siap dan tempoh menunggu untuk menikmati jaringan pengangkutan yang baik.

Mustaman berkata pentadbiran Anwar mempunyai tanggungjawab membuktikan bahawa Sabah rakan dalam persekutuan yang sama taraf dan “bukan sekadar negeri yang disebut ketika pilihan raya atau ketika memerlukan sokongan politik”.

“Sabah mesti dilihat sebagai rakan dalam persekutuan yang berhak menikmati pembangunan infrastruktur setara dengan sumbangan dan kedudukannya kepada negara,” katanya.

“Usah hanya bercakap tentang Malaysia Madani dan merapatkan kesenjangan namun demikian hasilnya pula masih bersifat retorik. Rakyat Sabah mahu ia diterjemah dalam bentuk pelaksanaan, bukan sekadar slogan penyedap mulut.

“Perlu ditegaskan bahawa Sabah bukan anak tiri Kerajaan Madani sebaliknya Sabah ialah sebahagian daripada Malaysia yang berhak mendapat pembangunan yang adil, pantas dan setimpal dengan keperluannya.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.