- Iklan -
Berita

Hospital swasta Shah Alam digesa tolak dana syarikat ‘terpalit Israel’ KKR

BDS Malaysia menyenaraikan pelbagai aktiviti dana global AS itu di Israel sambil mengingatkan Avisena Healthcare mengenai tindakan entiti Zionis menghancurkan prasarana kesihatan penduduk Palestin.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Aktivis berdemonstrasi membantah KKR ketika acara muzik anjuran Boiler Room di New York pada Julai 2025. KKR merupakan syarikat induk Superstruct Entertainment, pemilik platform hiburan itu.
Aktivis berdemonstrasi membantah KKR ketika acara muzik anjuran Boiler Room di New York pada Julai 2025. KKR merupakan syarikat induk Superstruct Entertainment, pemilik platform hiburan itu.

Sayap tempatan pergerakan global memulau Israel memberi amaran kepada sebuah hospital swasta supaya mengkaji semula keputusan menerima pelaburan daripada pengurus dana AS, Kohlberg Kravis Roberts & Co (KKR), yang baru-baru ini mengambil saham minoriti dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit, sambil mengingatkan bahawa langkah itu "menimbulkan persoalan etika yang serius” di sebalik tindakan Israel memusnahkan prasarana kesihatan penduduk Palestin.

Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia menggesa Avisena Healthcare, yang mengendalikan salah sebuah hospital swasta terbesar di negara ini, menyemak semula keputusannya menerima pelaburan daripada KKR “yang reputasinya telah terjejas oleh hubungannya dengan Israel".

AvisenaHospital_ShahAlam“Amat menyedihkan melihat Avisena, yang dinamakan sempena nama doktor-ahli falsafah Islam yang terkenal pada Zaman Kegemilangan Islam, bekerjasama dengan KKR, sebuah syarikat yang mempunyai hubungan kukuh dengan Israel, iaitu rejim yang telah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Islam dan Kristian di Gaza dan Tebing Barat,” kata BDS Malaysia dalam satu kenyataan yang disokong kira-kira 30 pertubuhan lain.

Pergerakan itu bagaimanapun tidak menganjurkan kempen memboikot hospital tersebut dan mengelak daripada menuduhnya terlibat dalam jenayah Israel.

Namun begitu, ia berkata rakyat Malaysia perlu “memeriksa hati nurani mereka dengan teliti sebelum membuat keputusan sama ada untuk menggunakan kemudahan Avisena”.

"Harus dikatakan bahawa menerima dana daripada entiti seperti KKR menimbulkan persoalan etika yang serius mengenai Avisena sebagai sebuah syarikat penjagaan kesihatan yang komited terhadap prinsip-prinsip rawatan yang berperikemanusiaan dan adil untuk semua.”

Berita mengenai pelaburan KKR dalam Avisena mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan ramai memetik penglibatan KKR dalam ekonomi Israel melalui pelaburan utamanya, termasuk di wilayah yang diceroboh untuk membina penempatan haram Yahudi.

Chin Yu Oh dan Lim Soon Jin (pertama dan kedua dari kiri), mewakili KKR, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Avisena Healthcare, Elina Nadia Omar dan Pengerusi Dr Omar Abd Hamid, semasa majlis menandatangani perjanjian pada 4 September 2026 bagi mengumumkan KKR sebagai rakan strategik.
Chin Yu Oh dan Lim Soon Jin (pertama dan kedua dari kiri), mewakili KKR, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Avisena Healthcare, Elina Nadia Omar dan Pengerusi Dr Omar Abd Hamid, semasa majlis menandatangani perjanjian pada 4 September 2026 bagi mengumumkan KKR sebagai rakan strategik.

Avisena sebelum ini menjelaskan suntikan modal itu merupakan transaksi komersial oleh sebuah syarikat dengan struktur pemilikan terdiri daripada pelbagai pemegang saham dan bukan terikat secara peribadi kepada hartawan Yahudi yang mengasaskan KKR.

“Ia tidak wajar dikaitkan atau ditafsirkan berdasarkan agama, etnik atau latar belakang peribadi mana-mana individu.

“Ia cuma pelaburan minoriti dan tidak melibatkan pembelian, pengambilalihan atau sebarang perubahan kepada kawalan pegangan saham sedia ada Avisena Healthcare,” kata kumpulan hospital itu seperti dilaporkan Sinar Harian.

Walaupun jumlah dana KKR tidak dinyatakan, laporan Reuters bulan lalu menganggarkan ia melibatkan pegangan 20% hingga 25% dalam Avisena yang boleh mencapai RM300 juta hingga RM400 juta.

KKR dan ekonomi Israel

BDS Malaysia menyenaraikan beberapa pelaburan semasa oleh KKR yang menunjukkan bagaimana dana itu masih terus bertapak di Israel.

Ia termasuk pelaburannya dalam platform hartanah Guesty, firma IT Global Technical Realty (GTR) dan Semperis, serta platform kandungan digital Artlist.

Di samping itu, KKR juga merupakan pemilik majoriti Aviv Group, yang memiliki firma pengiklanan hartanah yang turut menyenaraikan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

“KKR terus mengekalkan pelaburan di Israel meskipun Israel terus melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin,” tambah BDS Malaysia.

Ia seterusnya mengingatkan Avisena mengenai jenayah Israel terhadap penjagaan kesihatan berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan British Medical Journal.

“Israel telah melakukan lebih daripada 1,000 serangan ke atas kemudahan sasaran penjagaan kesihatan di Gaza antara Oktober 2023 dan Jun 2026, termasuk 36 hospital, dan juga telah membunuh lebih 1,700 petugas penjagaan kesihatan di Gaza.

“Oleh itu, kami menyeru Avisena untuk menyemak semula keputusannya untuk menerima modal daripada KKR, yang reputasinya telah terjejas oleh hubungannya dengan Israel.”

MalaysiaNow telah menghubungi Avisena untuk mendapatkan maklum balas. Seorang jurucakap berkata ia tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini.

"Kami kekal dengan semua maklumat seperti diberikan dalam kenyataan awal rasmi kami."

Perkembangan itu adalah kontroversi terbaru melibatkan pelaburan oleh entiti perniagaan yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong Palestin di Malaysia, khususnya selepas kempen genosid Israel di Gaza, di mana lebih 100,000 orang awam terbunuh sejak Oktober 2023.

Bantahan serupa meletus pada 2024 apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertegas meneruskan penjualan saham syarikat pengurusan lapangan terbang milik kerajaan, Malaysia Airports, kepada sebuah firma milik BlackRock, pengurus dana AS yang berdepan tuduhan terpalit dengan jenayah perang Israel.

Aktivis sebelum ini turut membantah kehadiran kapal membawa kargo ke Israel di pelabuhan tempatan.

Minggu lalu, BDS Malaysia memberi amaran kepada kerajaan Malaysia mengenai puluhan kontena berisi bekalan ke negara Zionis itu yang sedang menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor, hampir sebulan selepas pihak berkuasa memintas kargo untuk Elbit Systems, pemain utama industri ketenteraan Israel.