- Iklan -
BeritaDikemas Kini

Johor batal lesen Network School, beri tempoh 24 jam hentikan operasi

Ia selepas Balaji Srinivasan memberikan kata dua kepada Putrajaya supaya memberi jaminan operasinya tidak diganggu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Balaji Srinivasan.
Balaji Srinivasan.

Pihak berkuasa di Johor hari ini membatalkan lesen perniagaan sebuah “perkampungan digital” yang diasaskan oleh seorang taikun mata wang kripto berpangkalan di AS dan terkenal dengan pendirian pro-Israelnya, dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memberikan tempoh 24 jam untuk menghentikan semua aktivitinya.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas kenyataan Balaji Srinivasan yang dilihat seolah-olah memberikan kata dua kepada kerajaan Malaysia supaya menjamin operasi Network School boleh diteruskan, di sebalik bantahan pelbagai pihak mengenai kehadiran warga Israel dwi-kerakyatan serta kaitan entiti itu dengan unsur Zionis.

“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri. 

“Namun begitu, tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara,” kata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, sambil menambah pentadbirannya menyokong sepenuhnya keputusan MBIP.

Menteri Digital Gobind Singh Deo bersama pengasas Sekolah Rangkaian Balaji Srinivasan (ke-4 dan ke-3 dari kanan) semasa lawatan pada 17 April 2026. Gambar: Base APAC
Menteri Digital Gobind Singh Deo bersama pengasas Sekolah Rangkaian Balaji Srinivasan (ke-4 dan ke-3 dari kanan) semasa lawatan pada 17 April 2026. Gambar: Base APAC

Semalam, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Network School telah mematuhi prosedur.

Bagaimanapun, Gobind,  yang melawat pusat itu pada April sebelum memadamkan hantaran media sosial menunjukkan beliau bergambar dengan Srinivasan dan memuji entitinya, berkata perkara berkaitan operasi perniagaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri.

Network School, yang diwujudkan sebagai pemukiman digital di Forest City, Johor, menarik ratusan usahawan dan penggiat teknologi dari seluruh dunia, dan mula beroperasi sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kontroversi tercetus susulan dakwaan bahawa ia membenarkan warga Israel yang juga memegang pasport Amerika Syarikat untuk berpangkalan di sana.

Konsep Network School merupakan sebahagian daripada visi Srinivasan untuk mewujudkan “Network State”, yang pernah dibandingkannya sebagai “Tech Zionism”, di mana komuniti digital diwujudkan dengan peraturan dan sistem tersendiri yang akhirnya dicorakkan menjadi sebuah negara.

Minggu lalu, Jabatan Imigresen menjalankan pemeriksaan di Network School dan mengesahkan tiada kehadiran warga Israel berdasarkan pasport mereka.

Dalam reaksi panjang lebar, Srinivasan menolak pengkritik yang menurutnya melontarkan “tuduhan sensasi”, sambil mengecam sebuah akaun media sosial pro-Palestin kerana menyebarkan “cerita palsu”.

“Jika anda tidak mahu pelaburan kami, atau pelaburan rakan sekerja kami daripada dana berbilion dolar dan syarikat bertrilion dolar, kami sudah tentu akan menghormati kehendak anda dan memindahkan modal kami ke negara lain,” tulisnya, sambil mengumumkan perancangan masa depan telah digantung “sehingga kami menerima jaminan mencukupi bahawa isu seperti ini tidak akan berulang”.

Kenyataan itu dibidas seorang pemimpin pembangkang, yang memberi amaran kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mudah “digula-gulakan” dengan janji pelaburan teknologi.

“Ini bukan pelaburan biasa, ini taktik membina ‘negara dalam negara’,” kata peguam Rafique Rashid dari parti Pejuang.

Pelbagai aktiviti dan kemudahan ditawarkan oleh Network School dengan yuran bulanan bermula dari AS$1,500 (RM6,000).
Pelbagai aktiviti dan kemudahan ditawarkan oleh Network School dengan yuran bulanan bermula dari AS$1,500 (RM6,000).

“Saya hairan kenapa kita mudah kagum dengan wang asing. Ya, pelaburan penting tapi maruah dan keselamatan sempadan kita jauh lebih utama.”

Network School ditubuhkan hampir dua tahun lalu dan sejak itu berkembang menjadi penginapan jangka panjang untuk ratusan orang dari seluruh dunia, yang membayar yuran bulanan sekurang-kurangnya RM6,000 untuk menikmati pelbagai kemudahan.

Pusat tersebut juga menawarkan siri ceramah oleh usahawan digital yang kebanyakannya pro-Israel, seperti Vitalik Buterin, pengasas syarikat mata wang digital Ethereum, dan Brian Armstrong, CEO firma mata wang kripto Coinbase yang mempunyai pelaburan besar di Israel.

Usahawan dan jurucakap lain yang mempunyai kaitan politik dan perniagaan dengan Israel termasuk Ben Horowitz, Bryan Johnson dan Anatoly Yakovenko, di samping puluhan lagi yang dipaparkan di laman web Network School.

Sambil menyifatkan Johor sebagai pintu masuk strategik yang bersempadan dengan Singapura, Onn dalam kenyataannya hari ini menggesa agensi kerajaan persekutuan yang berkaitan untuk mengambil tindakan tegas sekiranya didapati pasport kedua disalahgunakan bagi menyembunyikan identiti warga Israel yang memasuki Malaysia.

Menurutnya, sebarang kelemahan atau penyalahgunaan imigresen perlu ditangani dengan “segera, tegas dan tanpa kompromi”.

Beliau turut menggesa Kementerian Digital dan agensinya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), untuk menyemak semula status Malaysia Digital yang diberikan kepada Network School sekiranya ia melanggar undang-undang. (Kemaskini: MDEC dalam satu kenyataan mengesahkan pembatalan status Malaysia Digital yang diberikan kepada Network School).

“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, tanpa berkompromi terhadap keselamatan, kedaulatan dan undang-undang negara,” kata Onn, sambil menambah bahawa Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, telah disembah maklum mengenai perkara itu.