- Iklan -
Berita

Indonesia rancang tempatkan peluru berpandu canggih buatan India di Selat Melaka?

Ia di sebalik kontroversi hasrat Jakarta untuk mengawal laluan dagang yang sibuk itu selepas didorong penutupan Selat Hormuz oleh Iran.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Selat Melaka merupakan antara laluan kapal paling sibuk di dunia dan kedudukannya kini kerap dibandingkan dengan Selat Hormuz di Timur Tengah.
Selat Melaka merupakan antara laluan kapal paling sibuk di dunia dan kedudukannya kini kerap dibandingkan dengan Selat Hormuz di Timur Tengah.

Indonesia dilaporkan sedang bersiap sedia menempatkan peluru berpandu supersonik jarak jauh buatan India di sepanjang Selat Melaka, langkah yang berkemungkinan mencetuskan kemarahan negara jiran, terutama Malaysia yang baru-baru ini kurang senang dengan kenyataan beberapa pemimpin Indonesia mencadangkan Jakarta mengambil alih laluan kapal tersebut, MalaysiaNow difahamkan.

Rancangan itu merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat melibatkan beberapa agensi, atau "rapat", yang berlangsung pada 20 Mei lalu dan dihadiri pegawai kanan tentera serta menteri kerajaan Indonesia.

Mesyuarat tersebut diadakan sempena lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada bulan depan, di mana beliau dan Presiden Prabowo Subianto dijangka memuktamadkan pembelian BrahMos dari India, peluru berpandu canggih jenis supersonik yang dibangunkan bersama Rusia, yang mampu mencapai kelajuan Mach 3, dengan jarak 300 km dan muatan letupan seberat 300 kg.

Brahmos_missiles"Rudal (peluru berpandu) pertama akan ditempatkan di choke points (laluan sempit) utama seperti di sekitar Selat Melaka," sumber di Jakarta yang mahu identitinya dirahsiakan memberitahu MalaysiaNow, memetik minit mesyuarat tersebut.

Menurut sumber itu, rancangan tersebut "selaras dengan pertimbangan Indonesia dalam aspek strategi, keamanan, keberlanjutan, serta penguatan posisi Indonesia dalam tata kelola jalur pelayaran global".

Perkembangan itu dua bulan selepas Prabowo, dalam kenyataan yang diilhamkan oleh langkah Iran menguasai Selat Hormuz, menyifatkan Indonesia sebagai "pemain utama" di pentas ekonomi global disebabkan kedudukannya di Selat Melaka.

"Sedarkah kita, bahawa 70% keperluan tenaga Asia Timur, 70% tenaga dan 70% perdagangan melalui laut-laut Indonesia?

"Sedarkah kita bahawa Selat Melaka, Selat Sunda, Selat Makassar, dan lain-lain itu adalah laut Indonesia? Sedarkah kita betapa pentingnya Indonesia? Betapa kuncinya kedudukan Indonesia?" kata Prabowo dalam mesyuarat Kabinet pada 8 April.

Dua minggu kemudian, Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa, menyusuli seruan presidennya dengan mencadangkan Jakarta mengenakan levi ke atas kapal yang melalui Selat Melaka.

"Kita berada di laluan strategik perdagangan dan tenaga dunia, tetapi kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan caj. Jadi persoalannya, adakah itu wajar?" katanya.

Kenyataan itu mengundang reaksi tegas beberapa negara jiran Indonesia yang lebih kecil di sepanjang Selat Melaka.

"Apa sahaja yang ingin dilakukan di Selat Melaka mesti membabitkan kebersamaan keempat-empat negara tersebut. Itu adalah persefahaman kita - tidak boleh dibuat secara bersendirian," kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Selama lebih dua dekad, Indonesia terlibat dalam kerjasama dengan Malaysia, Singapura dan Thailand untuk mengawal Selat Melaka, sebahagian daripada usaha mencegah pemerdagangan manusia, aktiviti lanun dan jenayah rentas sempadan.

Purbaya bagaimanapun menarik balik kenyataannya, mendakwa beliau tidak serius dalam mencadangkan untuk mengenakan levi, sambil menambah beliau menyedari tindakan tersebut melanggar undang-undang maritim antarabangsa.

Namun, pertemuan pegawai atasan kerajaan di Jakarta pada 20 Mei merasakan Indonesia perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Selat Hormuz, dan berpendapat laluan selat yang kritikal "tidak lagi semata-mata dilihat sebagai jalur pelayaran, tetapi sebagai arena penangkalan, tekanan politik, perang narasi (naratif), dan perhitungan ekonomi", kata sumber itu yang memetik minit mesyuarat yang sama.

"Oleh kerana itu, dinamika geopolitik yang kian sengit dinilai mendorong Indonesia untuk terus memodernisasi kapabilitas (keupayaan) pertahanannya, termasuk melalui rancangan pembelian rudal BrahMos dari India," tambahnya.

Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa keputusan menempatkan BrahMos di Selat Melaka bakal mengancam perjalanan kapal dan mewujudkan keadaan tidak stabil bekalan tenaga.

"Ia akan mengganggu mekanisme kerjasama yang menyatukan negara-negara pesisir dalam memastikan keselamatan navigasi di Selat Melaka, memburukkan lagi ketidakstabilan dan ketegangan serantau," tambahnya.

MalaysiaNow sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada pejabat Prabowo dan pihak Kementerian Pertahanan Indonesia.

SelatMelaka_mapSebagai salah satu laluan kapal paling sibuk di dunia, Selat Melaka, dengan keluasan sepanjang 900 km yang memisahkan Sumatra dan Semenanjung Malaysia, menawarkan jalan paling singkat antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

Beberapa kenyataan membandingkan Selat Melaka dengan Selat Hormuz baru-baru ini telah mencetuskan rasa kurang senang dengan kemungkinan krisis ekonomi global yang dicetuskan oleh serangan AS-Israel terhadap Iran boleh juga berlaku di Asia Tenggara sekiranya berlaku sebarang konflik.

Langkah Jakarta menuntut kawalan ke atas Selat Melaka dilihat bukan sahaja sebagai strategi geopolitik untuk survival negara tersebut semasa konflik ketenteraan.

Pembelian peluru berpandu BrahMos oleh Indonesia menjadi agenda utama lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Jakarta pada Julai 2026.
Pembelian peluru berpandu BrahMos oleh Indonesia menjadi agenda utama lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Jakarta pada Julai 2026.

Ia juga ada kaitan dengan situasi ekonomi Indonesia – yang teruk dilanda inflasi dan kenaikan harga selama bertahun-tahun – dan kini diburukkan lagi oleh kesan penutupan Selat Hormuz.

Modi dijangka melawat Indonesia pada 7 hingga 8 Julai, dan pemerolehan peluru berpandu BrahMos menjadi antara agenda penting dalam perbincangan yang akan diadakan.

Jika dimuktamadkan, Indonesia akan menjadi anggota Asean ketiga yang memiliki sistem peluru berpandu tersebut.

Awal bulan ini, New Delhi mengumumkan perjanjian bernilai AS$629 juta untuk membekalkan senjata tersebut kepada Vietnam. Sebelum itu, Filipina pada 2022 menjadi negara pertama di rantau ini yang membeli sistem tersebut.

Sementara itu, Malaysia, yang gagal mendapatkan sistem peluru berpandu tentera laut bernilai RM1 bilion selepas penjualan itu tiba-tiba dibatalkan oleh Norway, dikatakan sedang mengkaji varian BrahMos yang dilancarkan melalui udara.