Selepas aduan Farhash, Bukit Aman siasat media di bawah 'jenayah fitnah'
Peguam menganggap ia percubaan menakut-nakutkan wartawan supaya mengubah hala tuju editorial.
Terkini
Polis dipercayai memanggil beberapa editor portal berita untuk soal siasat susulan laporan difailkan oleh bekas pemimpin PKR yang kini tokoh korporat, Farhash Wafa Salvador, dalam apa yang disifatkan peguam sebagai percubaan terbaru kerajaan menggunakan undang-undang untuk mengekang wartawan.
MalaysiaNow merupakan antara portal media yang disasarkan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman disebabkan laporannya mengenai sebuah klip yang tular bulan lalu, memaparkan seorang wanita mengeluarkan beberapa kenyataan mengejutkan terhadap Farhash dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sebuah video yang dirakam secara rahsia lewat tahun lalu.
"Apabila editor berdepan kemungkinan didakwa dengan tuduhan jenayah kerana menerbitkan laporan berita, ia akan mengakibatkan ketakutan dan tindakan menapis serta memadam secara sistematik berita-berita penting.
"Kesan tersebut tidak memerlukan sabitan; apabila dipanggil untuk soal siasat dengan kemungkinan tuduhan jenayah, ia sudah cukup untuk mengubah hala tuju editorial dan landskap media," kata dua peguam mewakili MalaysiaNow, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh.
Difahamkan pengarang kanan portal berita Malaysiakini turut diberikan notis oleh polis untuk hadir sesi soal siasat.
"Pihak tuan juga dipohon untuk membawa bersama sebarang dokumen atau bahan berkaitan penerbitan artikel tersebut bagi tujuan siasatan," menurut e-mel Bukit Aman kepada MalaysiaNow semalam.
Ketika dihubungi, polis memaklumkan Rajesh bahawa siasatan itu berdasarkan laporan oleh Farhash dan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (jenayah fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, antara undang-undang yang semakin banyak digunakan terhadap wartawan, pengguna media sosial dan pemimpin pembangkang sejak tiga tahun lalu.
Farhash sebelum ini cuba menghalang MalaysiaNow daripada melaporkan mengenai pendedahan skandal lesen cari gali mineral Sabah, yang kini menjadi subjek saman fitnah RM10 juta difailkan olehnya terhadap portal berita itu.
Tahun lalu, polis dua kali memanggil editor MalaysiaNow berhubung pendedahan portal berita itu pada Julai 2025, bahawa sebuah syarikat dikaitkan dengan Farhash telah diberikan kelulusan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral meliputi kawasan hutan simpan di Sabah yang saiznya tiga kali ganda Kuala Lumpur.
Laporan polis terkini oleh Farhash berkait dengan sebuah artikel (klik di sini) pada 22 April, mengenai klip video memaparkan seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan rasuah melibatkan bekas setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Dalam klip berdurasi 49 saat itu, Sofia Rini Buyong, yang sebelum ini dikenal pasti sebagai proksi kepada Shamsul, membuat dakwaan mengejutkan terhadap Anwar dan Farhash dalam perbualannya dengan pendedah maklumat terkenal Albert Tei.
Ketika klip itu mula tersebar, beberapa pemimpin pembangkang turut mengulas kandungan dakwaan itu serta menuntut penjelasan daripada Anwar dan Farhash.
Dua minggu kemudian, Tei dalam laporan polisnya menggesa siasatan dilakukan mengenai dakwaan dalam klip itu.
Menurut Tei, Sofia mendakwa lawatan Anwar ke Afrika pada tahun lalu adalah untuk memindahkan sejumlah wang, selain mendakwa Farhash telah mendapat taraf kewarganegaraan Turki.
Anwar dan Farhash telah menafikan dakwaan tersebut.
Farhash kemudian membuat laporan polis sambil menyifatkan pihak di sebalik dakwaan itu berniat jahat demi kepentingan politik.
Siasatan polis terkini terhadap media ini muncul kurang sebulan selepas tindakan polis menyerbu rumah wartawan portal Malaysiakini, B Nantha Kumar, berhubung laporan beliau mengenai keputusan kerajaan menggunakan sistem kontroversi pengambilan pekerja asing.
Tindakan seumpama itu menjadi antara faktor kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia tahun ini, yang menyaksikan kejatuhan tujuh anak tangga dari tempat ke-88 tahun lalu ke tempat ke-95.
Dalam kenyataan mereka hari ini, Rajesh dan Sachpreetraj berkata MalaysiaNow hanya melaksanakan hak perlembagaannya untuk melaporkan perkara berkepentingan awam.
"Laporan mengenai kenyataan oleh seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan jenayah semasa merupakan contoh tepat kerja wartawan melaporkan kepentingan awam dalam lingkungan perlembagaan," kata mereka, sambil mengingatkan bahawa kebebasan media bukan tertakluk kepada kepentingan politik mereka yang berkuasa.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
