- Iklan -
Luar Sana

Penulis Hollywood setuju adakan perbincangan pertama dengan studio dalam tempoh 3 bulan

Mogok oleh kira-kira 11,500 penulis telah menyebabkan rancangan lewat malam membatalkan episod barunya, mengganggu kebanyakan produksi untuk TV musim luruh dan menghentikan kerja pada filem bajet besar.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Persatuan Penulis Amerika mengadakan piket di hadapan pejabat Netflix di Los Angeles, California, 12 Julai. Gambar: Reuters
Ahli Persatuan Penulis Amerika mengadakan piket di hadapan pejabat Netflix di Los Angeles, California, 12 Julai. Gambar: Reuters

Penulis dan studio besar Hollywood bersetuju untuk mengadakan perbincangan baut kalai pertama pada Jumaat sejak mogok berhubung tuntutan gaji yang lebih tinggi pada Mei, kata Persatuan Penulis Amerika (WGA) pada Selasa. 

Jawatankuasa rundingan WGA dalam satu kenyataan kepada ahlinya yang dilihat Reuters memaklumkan bahawa The Alliance of Motion Picture and Television Producers (AMPTP) ada menghubungi persatuan itu dan meminta supaya diadakan pertemuan.

“Kami akan kembali berkomunikasi dengan anda selepas mesyuarat dengan maklumat lanjut," kata jawatankuasa itu kepada ahlinya dalam notanya. 

AMPTP berunding bagi pihak Walt Disney, Netflix, Warner Bros Discovery dan studio lain. 

Jurucakap AMPTP memberitahu Reuters bahawa pakatan itu komited untuk mencari perjanjian yang saling menguntungkan, tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.

Mogok yang dilancarkan oleh kira-kira 11,500 penulis telah menyebabkan rancangan lewat malam terpaksa membatalkan episod barunya, mengganggu kebanyakan produksi untuk saluran TV musim luruh dan menghentikan kerja bagi filem bajet besar. 

Pelakon Hollywood menyertai penulis dalam piket itu pada bulan Julai kerana mereka juga menuntut gaji era penstriman yang lebih tinggi dan sekatan terhadap penggunaan kecerdasan buatan. 

Laman web hiburan Deadline pada Selasa melaporkan bahawa WGA dan studio berada di ambang kejayaan dalam mengadakan perbincangan.