- Iklan -
Berita

Pita berdepan rintangan besar menjelang pemilihan PM baru Thailand

Ini selepas SPR mengesyorkan Mahkamah Perlembagaan melucutkan jawatan Pita sebagai ahli Parlimen berikutan dakwaan beliau memiliki saham dalam sebuah syarikat media ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 14 Mei.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Calon perdana menteri Thailand, Pita Limjaroenrat. Gambar: Reuters
Calon perdana menteri Thailand, Pita Limjaroenrat. Gambar: Reuters

Calon perdana menteri Thailand, Pita Limjaroenrat berdepan halangan besar apabila dua pertuduhan terhadapnya mendapat perhatian, sehari sebelum Parlimen mengundi perdana menteri baharu.

Tuduhan-tuduhan ini boleh mengancam peluang pemimpin Parti Move Forward (MFP) itu untuk menjadi perdana menteri.

Mahkamah Perlembagaan hari ini menerima pertuduhan bahawa Pita dan MFP cuba meminda undang-undang lese-majeste, yang dianggap sebagai cubaan "untuk menggulingkan kerajaan demokratik dengan raja sebagai ketua negara".

Pita dan MFP perlu mengemukakan pembelaan mereka dalam tempoh 15 hari kepada Mahkamah Perlembagaan.

Pada hari ini juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan Mahkamah Perlembagaan melucutkan jawatan Pita sebagai Ahli Parlimen berikutan dakwaan beliau memiliki saham dalam sebuah syarikat media ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 14 Mei.

Sementara itu, Pita berkata beliau akan menghadiri sidang Parlimen esok untuk pengundian serta menjawab soalan-soalan semasa perbahasan sebelum pengundian.

Beliau juga mempersoalkan tindakan SPR mengesyorkan penggantungan dan melucutkan jawatannya, sehari sebelum pengundian.

"Ini agak tergesa-gesa... Saya rasa saya tidak diperlakukan dengan adil," katanya.

Pita berkata cadangan parti MFP untuk meminda Artikel 112 Kod Jenayah bukanlah cubaan untuk melemahkan institusi monarki.

Dalam tempoh kurang dari 24 jam sebelum pengundian, Parti Demokrat mengumumkan bahawa ahli-ahli parlimen parti itu tidak akan menyokong Pita berikutan  MFP yang bercadang  untuk meminda Artikel 112.

Kesemua  25 orang Ahli Parlimen Parti Demokrat akan mengambil sikap neutral dan tidak mengundi.

Sementara itu, penyokong MFP berkumpul di Bangkok malam ini dan mendesak senator-senator untuk mengundi Pita sebagai perdana menteri berdasarkan kehendak majoriti pengundi.

Bagi mengelakkan penyokong-penyokong berkumpul di luar Parlimen, Biro Polis Metropolitan mengumumkan bahawa tiada perhimpunan awam dibenarkan dalam radius 50 meter dari bangunan Parlimen di Jalan Samsen, Daerah Dusit dari Rabu hingga Sabtu (12-15 Julai).