- Iklan -
Luar Sana

Keputusan pilih PM baru Thailand akan diketahui lewat malam ini

Pita Limjaroenrat dari Parti Move Forward satu-satunya calon yang dinamakan untuk menyandang jawatan berkenaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Parti Move Forward Pita Limjaroenrat berbahas semasa sesi pengundian untuk pemilihan perdana menteri baru di Parlimen, di Bangkok, Thailand, 13 Julai. Gambar: Reuters
Pemimpin Parti Move Forward Pita Limjaroenrat berbahas semasa sesi pengundian untuk pemilihan perdana menteri baru di Parlimen, di Bangkok, Thailand, 13 Julai. Gambar: Reuters

Persidangan Parlimen Thailand pada Khamis, menjadi tumpuan memandangkan pengundian yang dinanti-nantikan bagi memilih perdana menteri baharu akan diadakan, yang bakal menyaksikan sama ada Pita Limjaroenrat akan berjaya dipilih.

Pemimpin Parti Move Forward (MFP) berusia 42 tahun itu satu-satunya calon yang dinamakan untuk menyandang jawatan berkenaan.  

Bagaimanapun, beliau dijangka berdepan cabaran getir untuk memperoleh sekurang-kurangnya 375 undi daripada 749 Ahli Parlimen dwidewan – 249 ahli Dewan Negara  (seorang senator meletak jawatan pada Rabu) dan 500 ahli Dewan Rakyat.

Dewan Negara dan Ahli Parlimen akan mengadakan perbincangan selama enam jam sebelum pengundian bermula kira-kira pukul 5 petang (waktu tempatan) pada Khamis. Keputusannya dijangka diketahui pada lewat malam.

MFP, yang memenangi 151 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei dan memperoleh lebih 14.2 juta undi, mengetuai gabungan yang terdiri lapan parti, menjadikan jumlah kerusi sebanyak 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

“Saya akan melakukan yang terbaik demi harapan dan galakan yang diberikan oleh orang ramai kepada saya.

“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk menjelaskan visi saya kepada rakyat. Saya juga akan menangani sebarang kebimbangan yang mungkin ada dalam kalangan senator dan menggunakan peluang ini untuk mencari konsensus baharu,” kata Pita kepada pemberita.

Pita menghadapi halangan besar sebelum pengundian apabila dua aduan terhadapnya heboh diperkatakan.

Pada Rabu, Mahkamah Perlembagaan telah menerima pertuduhan yang mendakwa Pita dan MFP cuba meminda undang-undang lese-majeste, yang merupakan percubaan "untuk menggulingkan rejim pemerintahan demokrasi dengan raja sebagai ketua negara".

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengesyorkan mahkamah melucutkan kelayakan Pita sebagai Ahli Parlimen kerana pelanggaran pegangan saham.

Semasa perbahasan, ramai Ahli Parlimen mempersoalkan dan membantah pencalonan Pita serta cadangan MFP untuk meminda Perkara 112 Kanun Jenayah, juga dikenali sebagai undang-undang lese-majete yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun untuk kesalahan menghina monarki.