- Iklan -
Luar Sana

Saingan Twitter, Threads daftar 100 juta pengguna dalam tempoh 5 hari

Walaupun ChatGPT mengambil masa selama dua bulan untuk mencapai 100 juta pengguna dan aplikasi perkongsian video TikTok mengambil masa sembilan bulan, Instagram sendiri mengambil masa dua setengah tahun untuk mencapai tahap itu selepas pelancarannya pada 2010.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Logo aplikasi Threads dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 4 Julai. Gambar: Reuters
Logo aplikasi Threads dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 4 Julai. Gambar: Reuters

Aplikasi Threads yang dilancarkan oleh Instagram sebagai saingan kepada Twitter telah meraih pendaftaran lebih 100 juta pengguna dalam tempoh kurang lima hari, kata laman sesawang penjejakan data pada Isnin, memecahkan rekod platform kecerdasan buatan (AI), ChatGPT untuk aplikasi pengguna paling pesat berkembang. 

Walaupun ChatGPT mengambil masa selama dua bulan untuk mencapai 100 juta pengguna dan aplikasi perkongsian video TikTok mengambil masa sembilan bulan, Instagram sendiri mengambil masa dua setengah tahun untuk mencapai tahap itu selepas pelancarannya pada 2010. 

Threads disiarkan secara langsung menerusi Apple dan Android ‘aps stores’ di 100 negara pada Rabu, walaupun ia tidak tersedia di Eropah kerana syarikat induk Meta tidak pasti kaedah menavigasi perundangan privasi data Kesatuan Eropah (EU). 

Twitter dianggap mempunyai kira-kira 200 juta pengguna biasa tetapi ia telah mengalami kegagalan teknikal berulang sejak Elon Musk membeli platform itu tahun lepas dan memecat ribuan kakitangannya.

Musk, yang juga pemilik Tesla dan SpaceX, juga telah mengasingkan ramai pengguna dengan memperkenalkan caj untuk perkhidmatan percuma sebelum ini dan mengaktifkan semula akaun kumpulan berhaluan kanan yang sebelum ini dilarang kembali pada platform tersebut. 

Beberapa pesaing muncul akan tetapi kebanyakannya adalah platform khusus tanpa kapasiti untuk berkembang pada skala yang diperlukan untuk menyingkirkan Twitter. 

Bagaimanapun, Threads didapati lebih mudah kerana ia dikaitkan dengan Instagram, yang mempunyai lebih satu bilion pengguna biasa. 

Dalam pada itu, perkhidmatan data dalam talian Quiver Quantitative melaporkan bahawa aplikasi itu melepasi 100 juta pengguna pada 7.00 pagi tadi.

Laman sesawang lain yang menggunakan kiraan "lencana" diterima oleh pengguna Instagram yang telah memuat turun Threads mendakwa pencapaian itu diraih lebih awal.

Musk telah mengancam untuk menyaman Meta kerana mencuri rahsia perdagangan dan harta intelek, namun dakwaan tersebut dinafikan syarikat itu, yang juga memiliki Facebook dan WhatsApp. 

Musk tersepit dalam persaingan dengan ketua Meta, Mark Zuckerberg, dengan dua lelaki itu mengancam untuk saling bergaduh satu sama secara fizikal baru-baru ini.