- Iklan -
Luar Sana

Tiada perubahan dasar luar melibatkan Israel dalam penganjuran Piala Dunia B-20, kata Jokowi

Jokowi, menyatakan sokongan Indonesia terhadap Palestin dan penyelesaian dua negara sambil berkata kelayakan Israel menyertai kejohanan itu telah diperoleh lama selepas republik itu memenangi hak penganjuran sebagai tuan rumah.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Indonesia Joko Widodo memberi isyarat tegas semasa beliau bercakap ketika wawancara di Istana Presiden di Jakarta, Indonesia, 1 Februari. Gambar: Reuters
Presiden Indonesia Joko Widodo memberi isyarat tegas semasa beliau bercakap ketika wawancara di Istana Presiden di Jakarta, Indonesia, 1 Februari. Gambar: Reuters

Presiden Indonesia Joko Widodo berkata penyertaan Israel dalam kejohanan Piala Dunia Bawah 20 tahun yang bakal dianjurkan negara itu sebagai tuan rumah tidak akan mengubah dasar luar republik tersebut, sambil menekankan di tengah-tengah bantahan tempatan bahawa sukan dan politik tidak harus dicampuradukkan.

Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi mengesahkan beliau telah menghantar Erick Thohir, seorang menteri Kabinet dan bekas pengerusi Inter Milan yang mengetuai Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), untuk berbincang dengan badan induk dunia bola sepak dunia, Fifa selepas undian untuk kejohanan itu bulan depan dibatalkan ekoran penentangan terhadap penyertaan Israel.

Jokowi, menyatakan sokongan Indonesia terhadap Palestin dan penyelesaian dua negara sambil berkata kelayakan Israel menyertai kejohanan itu telah diperoleh lama selepas republik itu memenangi hak penganjuran sebagai tuan rumah.

“Saya dengan ini memberi jaminan penyertaan Israel tidak ada kena mengena dengan konsistensi kedudukan dasar luar kita terhadap Palestin, kerana sokongan kita terhadap Palestin sentiasa kuat dan kukuh,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung. 

"Jangan campur urusan sukan dan politik."

Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel dan penunjuk perasaan baru-baru ini mengadakan perarakan menuntut Israel dihalang daripada menyertai kejohanan membabitkan 24 pasukan bermula 20 Mei hingga 11 Jun depan. 

Penduduk Indonesia kebanyakannya beragama Islam dan kebanyakannya mengamalkan Islam yang sederhana, walaupun peningkatan dalam konservatisme agama telah menyelinap ke dalam politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Undian dibatalkan 

PSSI pada Ahad berkata undian untuk kejohanan itu minggu ini telah dibatalkan selepas gabenor Bali yang sebahagian besarnya beragama Hindu enggan menjadi tuan rumah kepada pasukan Israel. 

Gabenor Wayan Koster menggesa Kementerian Belia dan Sukan untuk "mengguna pakai dasar melarang pasukan Israel daripada bertanding di Bali", lapor media, memetik surat daripada Koster. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada Pejabat Koster namun tidak berjaya. 

Gabenor memberitahu media pada Isnin bahawa beliau mengikuti "pendirian kerajaan". 

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Israel juga cuba dihubungi untuk mendapatkan reaksi tersebut.

Jurucakap Fifa berkata pemeriksaan venue kejohanan telah selesai tetapi tidak mengulas mengenai mesyuarat pengerusi PSSI atau bila undian boleh diadakan. 

Jokowi tidak menyebut pada Selasa tentang apa yang akan dicadangkan oleh Erick kepada Fifa. 

Di laman Instagramnya, Erick berkata isu itu "bukan perkara mudah". 

Pembatalan undian itu menimbulkan kebimbangan selepas republik itu mungkin kehilangan hak penganjurannya dan menjerumuskan bola sepak Indonesia ke dalam pengasingan semula selepas ia digantung daripada Fifa selama setahun sehingga Mei 2016 kerana campur tangan kerajaan. 

Indonesia juga cuba membina semula reputasinya selepas rempuhan di sebuah stadium di Jawa Timur tahun lalu menyebabkan kematian 135 penonton, ramai penonton bersesak-sesak-sesak ketika mereka melarikan diri untuk keluar selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai. 

Muhadjir Effendy, pemangku menteri sukan, pada Selasa berkata jalan penyelesaian mesti diambil dan penganjuran kejohanan itu penting untuk bola sepak Indonesia. 

“Masih ada kemungkinan,” katanya. 

"Fifa sangat menghargai, memahami apa yang berlaku di Indonesia."