- Iklan -
Berita

Pemimpin pembangkang Kemboja dipenjara 27 tahun

Kem Sokha dituduh terbabit dalam 'rancangan rahsia' dan berpakat dengan entiti asing untuk menjatuhkan kerajaan pemerintah Hun Sen.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pemimpin Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja, Kem Sokha meninggalkan rumahnya ke Mahkamah Perbandaran Phnom Penh bagi mendengar keputusan kes pengkhianatannya, di Phnom Penh, Kemboja, 3 Mac. Gambar: Reuters
Bekas pemimpin Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja, Kem Sokha meninggalkan rumahnya ke Mahkamah Perbandaran Phnom Penh bagi mendengar keputusan kes pengkhianatannya, di Phnom Penh, Kemboja, 3 Mac. Gambar: Reuters

Mahkamah Kemboja pada hari Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun kepada pemimpin tertinggi pembangkang Kem Sokha kerana melakukan pengkhianatan, dalam kes yang didakwa kumpulan hak asasi sebagai bermotifkan politik. 

Kem Sokha ialah pengasas bersama Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang kini dibubarkan dan dilaporkan menjadi musuh kepada Perdana Menteri Hun Sen – pemimpin paling lama berkhidmat di Asia. 

"Kem Sokha... dijatuhi hukuman penjara 27 tahun atas pertuduhan bersubahat dengan warga asing yang dilakukan di Kemboja dan tempat lain," kata Hakim Koy Sao di mahkamah di Phnom Penh. 

Sejurus selepas keputusan itu, pemimpin berusia 69 tahun itu dibawa pulang ke kediamannya di mana dia diletakkan di bawah tahanan rumah dan dilarang bertemu sesiapa yang bukan ahli keluarganya. 

Peguam Kem, Ang Udom memberitahu pemberita anak guamnya mempunyai tempoh sebulan untuk merayu sabitan dan hukuman penjara itu.

Mahkamah juga melucutkan haknya untuk mengundi dan menghalangnya daripada bertanding jawatan politik. 

Kem Sokha ditahan dalam operasi tengah malam pada 2017 yang membabitkan ratusan anggota keselamatan.

Kem Sokha dituduh terbabit dalam "rancangan rahsia" dan berpakat dengan entiti asing untuk menjatuhkan kerajaan pemerintah Hun Sen. 

Bagaimanapun, dia berulang kali menafikan tuduhan terhadapnya. 

Pengkritik mendakwa Hun Sen menggunakan mahkamah untuk menyekat pihak lawan, memenjarakan ramai aktivis pembangkang dan pembela hak asasi manusia. 

“Saya tidak boleh menerima keputusan ini,” kata penyokong Kem Sokha, Chea Samuon kepada AFP di luar bilik mahkamah.

"Ia sangat tidak adil untuk dia dan rakyat. Dia tidak bersalah, ini adalah tekanan politik." 

Duta Besar AS ke Kemboja W Patrick Murphy, yang turut berada di mahkamah, menyelar perbicaraan itu dan menganggap hukuman itu sebagai “miscarriage of justice”. 

Ogos lalu, Setiausaha Negara AS Antony Blinken bertemu Kem Sokha semasa lawatannya ke Phnom Penh, di mana beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai demokrasi kerajaan yang sedang tenat dalam perbincangan dengan Hun Sen.