- Iklan -
Luar Sana

Cacar monyet kekal dalam senarai kecemasan kesihatan awam antarabangsa, kata WHO

Risiko peringkat global dinilai sebagai sederhana, status di rantau Asia Tenggara rendah, menurut statistik terkini WHO.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorag kanak-kanak yang dipercayai  menghidap cacar monyet duduk di katil pusat kesihatan Yalolia, Tshopo di Congo pada 3 Oktober. Gambar: Reuters
Seorag kanak-kanak yang dipercayai menghidap cacar monyet duduk di katil pusat kesihatan Yalolia, Tshopo di Congo pada 3 Oktober. Gambar: Reuters

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengumumkan bahawa wabak penyakit cacar monyet  (monkeypox) kekal dalam senarai Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), lapor Xinhua.

Julai tahun lepas WHO secara rasmi mengisytiharkan bahawa wabak itu di luar kawasan endemik tradisional di Afrika telah bertukar menjadi PHEIC iaitu tahap amaran tertinggi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan global.

Dalam satu kenyataan WHO menyatakan pakarnya mengakui terdapat kemajuan dalam tindak balas global terhadap wabak itu dan penurunan jumlah kes dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beberapa negara terus menyaksikan peningkatan kes manakala di wilayah lain berkemungkinan kes tidak dilaporkan.

Oleh itu, jawatankuasa pakar dan Setiausaha Agung WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengekalkan bahawa cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa.

Statistik terkini WHO menunjukkan bahawa risiko cacar monyet di peringkat global dinilai sebagai sederhana manakala status di rantau Asia Tenggara daripada sederhana kepada rendah serta di Wilayah Pasifik Barat statusnya kekal rendah.

Sementara itu, pelan tindak balas wabak cacar monyet yang dilancarkan pada Julai 2022 untuk membantu menyelaras tindakan kesihatan awam akan berakhir pada Jun 2023.