- Iklan -
Luar Sana

Tunisia tangkap lebih ramai pengkritik presiden

Ia sebahagian daripada gelombang tangkapan yang menyasarkan ahli politik dan pengkritik kerajaan pimpinan Kais Saied.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Tunisia Kais Saied. Gambar: Reuters
Presiden Tunisia Kais Saied. Gambar: Reuters

Polis Tunisia pada Isnin menahan dua pengkritik terkenal presiden Kais Saied dan ketua stesen radio yang menyiarkan kritikan terhadap presiden, sebagai sebahagian daripada gelombang tangkapan yang menyasarkan ahli politik dan pengkritik kerajaan.

Polis menyerbu rumah Noureddine Bhiri, pegawai kanan dalam parti pembangkang terbesar Ennahda dan seorang pengkritik terkemuka Saied, kata peguamnya Samir Dilou melalui telefon.

“Polis menyerbu rumah Noureddine Bhiri, menyerang isterinya, dan menangkapnya,” kata Dilou kepada Reuters.

Pihak berkuasa juga menyerbu rumah ketua Mosaique FM, Noureddine Boutar, yang stesen radionya sering menyiarkan kritikan terhadap Saied, dan menangkapnya selepas menggeledah rumahnya, kata peguamnya Dalila Ben Mbarek.

Polis turut menahan aktivis politik dan peguam Lazhar Akremi, kata peguam dan aktivis pembangkang.

Sejak Sabtu, polis telah menahan ramai tokoh yang menyuarakan bantahan terhadap Saied atau cuba menggerakkan protes terhadapnya.

Mereka termasuk seorang pemimpin perniagaan terkemuka yang mempunyai hubungan rapat merentasi spektrum politik, seorang bekas menteri kewangan, seorang lagi bekas pegawai kanan Ennahda, dua hakim dan seorang bekas diplomat. Peguam berkata mereka ditahan kerana disyaki mengancam keselamatan negara.

Polis, Kementerian Dalam Negeri mahupun Pejabat Perdana Menteri tidak mengulas secara terbuka mengenai penahanan itu atau menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

Parti Islam Ennahda mengecam "penculikan musuh Saied".

"Mengganggu tokoh pembangkang, wartawan, ahli perniagaan dan kesatuan sekerja adalah bukti kecelaruan dan ketidakupayaan untuk menghadapi krisis," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Julai 2021, Saied secara mengejut menutup parlimen, memecat kerajaan dan mula memerintah melalui dekri sebelum mengarang semula perlembagaan, langkah yang digelar pengkritik sebagai rampasan kuasa yang meruntuhkan demokrasi yang dibina selepas revolusi 2011.

Saied telah menafikan rampasan kuasa, berkata tindakannya adalah sah dan perlu untuk menyelamatkan Tunisia daripada huru-hara.

Walaupun beberapa ahli politik telah menghadapi penahanan sejak Saied merampas kuasa, tidak ada tindakan keras besar terhadap perbezaan pendapat.

Pada tahun lepas, Bhiri ditahan selama dua bulan kerana dituduh membantu militan Islam lolos ke Syria, tuduhan yang beliau dan nafikan.

Televisyen negara sebahagian besarnya telah menghentikan penyiaran wawancara dengan pengkritik presiden.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.