- Iklan -
Luar Sana

Putin beri amaran kepada Barat berikutan penghantaran senjata api ke Ukraine

Ancaman itu hadir selepas Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memberi amaran bahawa Kremlin sedang menyatukan pasukannya untuk serangan baharu.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: AFP
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: AFP

Presiden Rusia Vladimir Putin berikrar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana negara yang mengancam republik itu dan menyelar Jerman kerana menjanjikan kereta kebal untuk Kyiv.

Ancaman itu hadir selepas Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memberi amaran bahawa Kremlin sedang menyatukan pasukannya untuk serangan baharu. 

Zelensky bercakap di Kyiv bersama ketua EU Ursula von der Leyen, yang berkata blok itu sedang memuktamadkan sekatan baharu terhadap Rusia menjelang 24 Februari, genap setahun selepas Putin mengarahkan tentera masuk ke Ukraine. 

Di bandar Volgograd di selatan Rusia, Putin berkata: "Ia sukar dipercayai tetapi benar. Kami sekali lagi diancam kereta kebal Leopard Jerman." 

Beliau berkata demikian pada majlis memperingati kemenangan Red Army menentang tentera Nazi 80 tahun lalu di Stalingrad, nama lama bandar itu.

"Kami mempunyai sesuatu untuk bertindak balas," tambahnya. "Perang moden dengan Rusia akan sama sekali berbeza." 

Ukraine bulan ini memperoleh janji dari Barat untuk penghantaran kereta kebal tempur moden untuk menentang tentera Rusia, dan Kyiv kini meminta peluru berpandu dan jet pejuang jarak jauh.

Sekatan 'menghakis' Rusia 

Rusia "bersedia untuk cuba membalas dendam, bukan sahaja terhadap Ukraine, tetapi terhadap Eropah dan dunia," kata Zelensky pada sidang akhbar bersama von der Leyen. 

Putin menegaskan bahawa Rusia mengharungi sekatan yang dikenakan oleh sekutu Barat Ukraine dan akan meneruskan kempen ketenteraannya di negara itu. 

Tetapi von der Leyen berkata sekatan sudah "menghakis" ekonomi Rusia, "menyebabkan negara itu terkebelakang”.

Beliau menganggarkan bahawa had harga minyak sedia ada sahaja menekan Moscow sekitar €160 juta (RM740 juta) setiap hari.

"Kami akan memperkenalkan dengan rakan kongsi G7 kami had harga tambahan bagi produk petroleum Rusia dan menjelang 24 Februari – genap setahun sejak pencerobohan bermula – kami menyasarkan untuk mengadakan pakej sekatan ke-10," katanya. 

Von der Leyen tiba di Kyiv pada Khamis bersama diplomat paling kanan EU Josep Borrell menjelang sidang kemuncak Ukraine-EU pada Jumaat di negara yang dilanda perang itu, yang sedang berusaha menyertai keahlian EU. 

Zelensky berkata negaranya layak memulakan rundingan penyertaan tahun ini untuk "memberi tenaga dan motivasi kepada rakyat kita untuk berjuang." 

Tetapi pemimpin EU berkata proses itu dijangka mengambil masa bertahun-tahun. 

Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov mendakwa EU khususnya von der Leyen menyeru agar Rusia ditewaskan supaya ekonominya akan musnah. 

"Adakah ini bukan perkauman, bukan Nazisme," kata Lavrov.