Bekas PM Pakistan Imran Khan cedera akibat tembakan
Pemimpin Pakistan Tehreek-e-Insaf berkata selain Imran, ahli Dewan Senat Faisal Javed Khan turut tercedera dalam kejadian itu.
Terkini
Terdapat percubaan untuk membunuh bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan pada Khamis ketika beliau mengetuai perarakan ke arah ibu kota Islamabad, menurut pemimpin partinya.
"Pengecut melakukan serangan untuk membunuh di Wazirabad (kawasan wilayah Punjab)," kata pemimpin kanan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) Farrukh Habib yang berkata Imran mengalami kecederaan.
Rakaman video menunjukkan Imran dibawa dari trak kontena khas yang dinaikinya ke sebuah kereta oleh pasukan keselamatannya.
Seorang lagi pemimpin parti berkata bekas perdana menteri itu terkena peluru di bahagian kakinya.
Rakan rapat Imran dan ahli Dewan Senat Faisal Javed Khan turut cedera dalam kejadian itu.
PTI memulakan "perarakan panjang" dari bandar Lahore pada 28 Oktober untuk menuntut pilihan raya umum diadakan lebih awal. Perarakan itu akan mencapai kemuncaknya di Islamabad pada 4 November namun konvoi terbabit bergerak perlahan susulan jumlah besar orang ramai yang menyertainya di sepanjang perjalanan.
Pemimpin PTI berkata mereka akan menangguhkan ketibaan di Islamabad untuk tempoh beberapa hari.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.