- Iklan -
Dunia

Banjir kilat di Filipina ragut 13 nyawa

Kesemua kematian itu adalah akibat lemas atau tanah runtuh.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bencana alam seperti banjir dan gempa bumi sering berlaku di Filipina yang terletak di Lingkaran Api Pasifik. Gambar: AFP
Bencana alam seperti banjir dan gempa bumi sering berlaku di Filipina yang terletak di Lingkaran Api Pasifik. Gambar: AFP

Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban pada Jumaat dan ramai lagi hilang selepas hujan lebat semalaman membanjiri beberapa bandar di wilayah Maguindanao di selatan Filipina, lapor Xinhua, memetik seorang pegawai tempatan.

Memetik laporan awal, Ketua Jabatan Pengurangan Risiko dan Bencana Maguindanao, Nasrullah Imam berkata 13 mati akibat lemas atau tanah runtuh dan pejabat berkenaan masih menilai keadaan.

Maguindanao ialah wilayah yang terletak di Wilayah Autonomi Bangsamoro Islam Mindanao.

Media tempatan melaporkan hujan lebat itu ada kaitan dengan ribut tropika Nalgae yang dijangka melanda Ahad ini di pulau utama Luzon.

Menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina, Nalgae dijangka menjadi ribut tropika yang teruk pada Jumaat dan bertukar kepada taufan menjelang Sabtu.

Filipina adalah antara negara paling terdedah kepada bencana berikutan lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan lingkaran taufan Pasifik.

Secara purata, negara kepulauan itu dilanda 20 taufan setiap tahun dengan beberapa daripadanya teruk dan merosakkan.