- Iklan -
Dunia

Thailand catat 11 kes jangkitan cacar monyet

Jabatan Kawalan Penyakit Thailand meningkatkan pengesanan kontak rapat bagi membendung penularan cacar monyet.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai memakai pelitup muka di sekitar Chinatown, Bangkok pada 28 Mei lalu. Gambar: AFP
Orang ramai memakai pelitup muka di sekitar Chinatown, Bangkok pada 28 Mei lalu. Gambar: AFP

Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang pulang dari Qatar disahkan positif kes cacar monyet, kes ke-11 yang dilaporkan di Thailand.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Tares Krassanairawiwong berkata lelaki itu yang bekerja sebagai tukang urut di Qatar, menunjukkan simptom termasuk demam dan ruam pada 8 Okt, sebelum pulang ke Thailand.

Setiba di Bangkok pada 15 Oktober, lelaki itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Pathum Thani dan doktor mengesyaki dia dijangkiti cacar monyet.

“Pesakit dipindahkan ke Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura untuk rawatan. Ujian makmal mengesahkan dia positif cacar monyet,” katanya.

Tares berkata DDC telah meningkatkan pengesanan kontak rapat bagi membendung penularan jangkitan.

Thailand melaporkan kes cacar monyet pertama membabitkan warna Nigeria berusia 27 tahun di Phuket pada 18 Julai. Lelaki itu bagaimanapun melarikan diri selepas dimaklumkan keputusan ujiannya positif. Lelaki itu kemudiannya ditemui di Phnom Penh, Kemboja dan di rawat di hospital di sana.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah DDC Dr Ophon Lamsirithavorn bekata 10 orang yang disahkan kes cacar monyet di negara itu pulih sepenuhnya.

 Beliau berkata 59 orang yang dikenal pasti sebagai kontak rapat juga bebas daripada penyakit itu selepas menjalani pemantauan selama 21 hari.