- Iklan -
Dunia

Gaza kembali aman selepas konflik 3 hari dengan Israel

Kedai di Gaza dibuka semula dan perkhidmatan pengangkutan awam mula beroperasi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi

Kehidupan harian di Gaza beransur pulih selepas konflik antara Jihad Islam Palestin (PIJ) dan tentera Israel selama tiga hari berakhir.

Pada petang Ahad, PIJ mengumumkan telah mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Israel, hasil usaha perantara Mesir bagi menamatkan konflik yang mengorbankan 45 rakyat Palestin dan mencederakan 260 yang lain.

Sejak awal pagi Isnin, kedai di Gaza dibuka kepada pelanggan dan perkhidmatan pengangkutan awam mula beroperasi.

"Kami tidak suka terlibat dalam ketegangan dengan Israel melainkan kami memperoleh faedah politik, ekonomi atau sosial.

"Adalah lebih baik untuk berunding dan mencapai perjanjian gencatan senjata yang membolehkan kami meneruskan dengan kehidupan," Iyad Abu Kwaik, seorang warga Gaza - pemilik kedai pakaian, memberitahu Xinhua.

Konflik ini telah mengorbankan nyawa orang awam, memusnahkan bangunan, dan orang ramai sentiasa dibelenggu penderitaan yang tidak berkesudahan, kata lelaki berusia 33 tahun itu, sambil menyeru puak Palestin untuk menyelaraskan usaha untuk menangani krisis rumit di Gaza di sebalik terlibat dengan permusuhan baharu dengan Israel.

Penduduk Gaza perlu meneruskan kehidupan harian mereka walaupun berdepan permusuhan, kata peguam yang berpangkalan di Gaza, Tawfiq Abu Ghalwa.

"Kami perlu redha dan mula sekali lagi untuk membina kehidupan di tanah air kami," katanya.

Bagaimanapun, kehidupan tidak lagi sama bagi Qusai Shamalakh, 45, yang kehilangan bangunan empat tingkatnya semasa konflik.

Bapa kepada empat orang anak itu telah menghabiskan masa berjam-jam memeriksa harta bendanya, mengalihkan serpihan, dan mencari barang-barang yang mungkin terselamat daripada serangan Israel.

"Hidup saya bagaikan telah berakhir kerana segala-galanya telah musnah. Saya dan keluarga menjadi gelandangan, dan tiada lagi sekelumit harapan pun," katanya kepada Xinhua.

Konflik terbaharu itu telah menyebabkan kira-kira 18 kediaman musnah sepenuhnya, 71 terjejas, dan 1,675 tidak dapat didiami, menurut Kementerian Kerja Raya dan Perumahan yang dikendalikan Hamas.

Pada awal hari itu, pihak berkuasa Israel telah membuka semula lintasan Kerem Shalom dan lintasan Erez selepas ditutup selama enam hari.

"Kira-kira 30 trak bahan api memasuki Gaza untuk membekalkan tenaga kepada loji janakuasa, dan trak turut dimuatkan dengan makanan, bijirin, dan bantuan kemanusiaan," kata Bassam Ghaben, pengarah lintasan Kerem Shalom.