- Iklan -
Kolum

Jasa panglima perang PAS Kelantan, Mohd Amar

Sikap tidak pernah takut melawan musuh boleh dijadikan contoh kepada generasi pemimpin akan datang.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Mohd Amar Nik Abdullah, seorang tokoh yang sudah lama berjuang di medan politik Kelantan, kini memberi laluan kepada pelapis baru bagi menerajui barisan kepimpinan negeri.

Digandingkan dengan bekas menteri besar Ahmad Yakob, beliau menggalas tugas panglima perang manakala menteri besar membawa imej penenang.

Pejuang yang tidak kenal takut

Amar adalah seorang pemimpin yang berani menghadapi cabaran. 

Sebagai panglima perang Kelantan, beliau tidak pernah takut melawan sesiapa sahaja musuh yang ingin menawan negeri itu daripada PAS.

Sikap inilah yang boleh dijadikan contoh kepada generasi pemimpin akan datang.

Beliau adalah seseorang yang menekankan integriti dan kejujuran dalam perjuangan. 

Beliau juga tidak pernah gentar untuk mengambil pendirian yang tegas dan berani, walaupun kadang-kadang percikan api ketika menyambar musuh itu terkena pada dirinya.

Pendidikan dan karier

Pengalaman hidup Amar amat kaya, bermula dari pendidikan awal di Pondok Tok Ayah Kedah, hingga ke peringkat Sarjana Falsafah di United Kingdom.

Pengalaman inilah yang membentuk beliau sebagai seorang pemimpin yang bijaksana dan berpengaruh.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selama 10 tahun.

Selepas itu, beliau pernah berkhidmat sebagai penguasa Kastam (Sangkut) selama setahun di Pulau Pinang.

Di peringkat parti, beliau dipanggil pimpinan PAS Kelantan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pengkalan Chepa dan seterusnya bertanding sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor hingga sekarang.

Beliau dilantik menjadi timbalan menteri besar Kelantan dari 2013 hingga 2023.

Selain itu, Amar juga merupakan naib presiden PAS serta timbalan pesuruhjaya I PAS Kelantan hingga sekarang. 

Pengunduran yang dirindui

Pengunduran Amar dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri pasti akan dirindui oleh ramai pihak.

Apa yang ditinggalkan Amar adalah warisan yang akan terus hidup dalam kenangan.

Kelantan adalah sebuah negeri PAS yang kuat, dan perjuangan akan diteruskan oleh kepimpinan baru yang diterajui Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud dan timbalannya Mohamed Fadzli Hassan. 

Pelapis teruskan kecemerlangan Amar

Amar adalah seorang tokoh yang unik dalam perjuangannya.

Kekuatan, keberanian, dan integriti beliau boleh dijadikan sandaran kepada pimpinan masa depan.

Beliau memberikan banyak sumbangan yang membentuk negeri Kelantan.

Daripada pendidikan hingga politik, beliau meninggalkan jejak yang mendalam.

Kecemerlangan dan jasa Amar terhadap Kelantan tidak akan dilupakan.

Kenal Amar, baru “demo reti” apa itu wira sejati.

Tidak lupa juga terima kasih kepada Ahmad.