- Iklan -
Kolum

Format laporan harian Covid-19 perlu ditukar segera

Jumlah jangkitan tidak lagi memberikan gambaran sebenar keadaan Covid-19 di Malaysia.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Masa sudah tiba untuk menukar format laporan harian Covid-19.

Jumlah harian jangkitan Covid-19 penting, tapi ia tidak lagi menjadi laporan yang penting seperti ketika wabak bermula.

Pertama, jumlah jangkitan tidak lagi memberikan gambaran sebenar keadaan Covid-19 di Malaysia.

Contohnya, angka 9,000 itu sangat menakutkan.

Pemerhatian lebih mendalam menunjukkan 70 peratus kes Covid-19 tertumpu di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.

Berdasarkan keluasan Malaysia 330,436 km persegi, ini menunjukkan 70 peratus kes Covid-19 tertumpu pada kawasan yang merangkumi hanya 4.5 peratus daripada keluasan Malaysia, iaitu Selangor 7,956 km persegi (2.4 peratus), Wilayah Persekutuan 243 km persegi (0.07 peratus) dan Negeri Sembilan 1,033 km persegi (2 peratus).

Ini bermaksud 95 peratus kawasan di Malaysia mempunyai kadar jangkitan Covid-19 yang agak terkawal.

Bagi mereka yang suka melihat segalanya daripada sudut politik, ada yang boleh berhujah tiga negeri pembangkang dan wilayah ibu kota yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) menyumbang lebih 70 peratus kes Covid-19 berbanding negeri-negeri dan kawasan yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Namun ini tidak melambangkan apa-apa, kerana apabila ada mana-mana negeri, sektor perniagaan, kawasan perumahan, keluarga, individu tanpa mengira darjat gagal mengawal Covid-19, kita semua turut gagal bersama kerana pembawa wabak ialah manusia, yang suka bergerak ke sana sini.

Hasrat rakyat dan kerajaan adalah sama iaitu Malaysia dapat mengatasi masalah Covid-19 secepat mungkin.

Oleh itu, laporan harian Covid-19 perlu diubah yang menunjukkan Malaysia semakin dekat atau jauh daripada matlamat itu.

Tiada jalan lain keluar daripada Covid-19 selain daripada vaksinasi.

Amerika Syarikat adalah contoh terbaik menunjukkan angka jangkitan harian Covid-19 tidak membawa apa-apa erti kerana akhirnya, jumlah jangkitan tetap akan dikurangkan dengan program vaksinasi rakyat.

Oleh itu, jumlah vaksinasi harian dan jumlah rakyat yang divaksinasi setiap hari adalah laporan yang paling penting hari ini.

Ini laporan yang memberikan harapan kepada semua rakyat dan menunjukkan ada cahaya di hujung terowong untuk semua di Malaysia.

Kedua, ialah jumlah pesakit Covid-19 yang mati, dimasukkan ke hospital dan ICU.

Laporan ini perlu dipecahkan kepada dua kategori iaitu pesakit yang belum mendapat sebarang vaksin, dan pesakit yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Laporan ini bakal menunjukkan trend penurunan harian sejajar dengan kadar vaksinasi negara.

Laporan ini juga akan mematikan semua hujah golongan anti-vaksin apabila ia menunjukkan tiada kematian, dan jumlah pesakit Covid-19 yang pernah divaksinasi dimasukkan ke hospital dan ICU amat kurang berbanding golongan yang belum divaksinasi.

Ketiga, memandangkan rakyat suka kepada kempen bendera, kerajaan perlu menggalakkan rakyat yang belum divaksinasi meletakkan bendera merah di rumah mereka manakala mereka yang divaksinasi meletakkan bendera hijau di rumah masing-masing.

Ini akan menggalakkan lebih ramai orang untuk divaksinasi dan membantu kerajaan melakukan vaksinasi rumah ke rumah apabila tercetusnya kluster di satu-satu kawasan.

Tumpuan harus diberikan untuk menyelesaikan masalah Covid-19.

Kerajaan bertindak tepat untuk memokus segala tenaga terhadap program vaksinasi kerana tiada jalan lain keluar daripada Covid-19 selain vaksinasi.

PKP, PKPD atau apa-apa sekatan cumalah membeli masa untuk melindungi rakyat daripada terkena Covid-19 dengan meletakkan ekonomi dalam keadaan sukar.

Masa yang dibeli ini hanya boleh dikaut untungnya dengan mempercepatkan program vaksinasi rakyat.

Jika program vaksinasi rakyat dapat diperhebatkan lagi dengan masa yang dibeli daripada pengorbanan sektor ekonomi, untung kepada negara akan berlipat ganda.

Selesainya masalah Covid-19, pilihan raya umum dapat diadakan untuk menyelesaikan masalah politik.

Mana-mana ahli politik yang melakukan sesuatu sehingga pilihan raya terpaksa diadakan sebelum masalah Covid-19 selesai adalah musuh sebenar.