- Iklan -
Kolum

Diseksa di Guantanamo

Jarang sebuah lakon layar yang lemah akan menonjolkan lakonan yang cemerlang.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Kebiasaanya sebuah skrip lakon layar yang lemah, akan mengheret kejatuhan semua yang lain dalam sesebuah filem.

Jarang sebuah lakon layar yang lemah akan menonjolkan lakonan yang cemerlang.

Ini kerana lakonan yang baik sangat bergantung kepada skrip yang matang, teguh dan bertenaga.

Akan tetapi, akan terdapat beberapa pengecualian – yang jarang terjadi – iaitu skrip yang tidak cukup masak masih membolehkan pelakon yang menghidupkan watak-watak yang terbangun dalam naratif itu cemerlang.

The Mauritanian adalah antara pengecualian yang begitu aneh sekali. Lakon layarnya terasa melayang-layang, kadang berpindah randah, kandungannya banyak pengulangan dan pada tempat yang tertentu serasa tidak cukup momentum.

Bagai tak sampai dan senteng sana sini.

Akan tetapi sebaik sahaja skrip ini diberikan kepada pelakon Perancis, Tahar Rahim; ikon Hollywood Jodie Foster dan Benedict Cumberbatch; filem The Mauritanian menjadi demikian menyerlah.

Malah skrip yang lemah itu serasa diselamatkan.

Filem ini mengisahkan nasib Mohamedou Ould Salahi yang meringkuk selama 14 tahun di Guantanamo Bay dikurung tanpa sebarang dakwaan jenayah.

Dia diculik tidak lama setelah peristiwa 9/11 dan dituduh melatih salah seorang penyerang kejadian 11 September di Amerika.

Untuk rekod, tiada bukti dapat menghubungkan beliau dengan tuduhan tersebut melainkan salah seorang penyerang tragedi tersebut pernah singgah di rumahnya di Jerman dan bermalam di situ.

Urusan mereka hampir tiada, dan Mohamedou kelihatannya hanya mahu buat baik berpada-pada kepada saudara seagama di sebuah negeri asing.

Akibat kebaikan berpada itu ialah nasib malang yang demikian nestapa.

Salahi seorang warga Mauritania menceritakan nasibnya yang malang itu dalam sebuah buku bertajuk Guantanamo Diary (2015).

Kevin Macdonald mengangkatnya menjadi filem dengan judul The Mauritanian dan menampilkan secara “biasa”.

Penjara, kurungan, bilik fail yang semak, kamar peguam yang tertekan, bilik mahkamah dan sesekali latar gurun dan laut yang bunyinya lunak diselang-selikan.

Ia adalah rencah drama Hollywood yang biasa kita tatap.

Cuma skrip yang biasa di tangan pelakon yang unggul, dapat ditukarkan sebagai satu epik lakonan yang membekas.

Naratif Salahi yang dipindahkan ke filem ini, seperti diingatkan di awal filem – ini bukan berdasarkan kisah benar – akan tetapi adalah kisah benar.

Mungkin dengan niat untuk tidak terlalu merubah dan berdrama, lakon layar The Mauritanian diadaptasi dengan terlalu berhati-hati.

Akibatnya serasa kering padahal ia boleh sangat mengemosikan, atau serasa berampai dan tidak terfokus padahal sepatutnya memanusiawikan.

Namun, kelihatannya semua pelakon The Mauritanian dipilih dengan penuh waspada, di mana semua mereka melakonkan watak-watak yang disediakan dengan cemerlang sekali.

Jodie Foster dalam The Mauritanian.

Jodie Foster yang membawa watak Nancy Hollander peguam liberal yang diberi kes Salahi mempunyai satu tugas mudah, memastikan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendakwa Salahi dengan sesuatu dan jika tiada, melepaskannya.

Hollander percaya pada prinsip semua orang berhak diberi keadilan, meskipun dia dituding raksaksa.

Akan tetapi kes habeas corpus yang mudah itu membuka pelbagai bekas kotor yang disembunyikan.

Setiap anak tangga mahkamah yang didaki Hollander dan pembantunya Teri (lakonan Shailene Woodley) menunjukkan banyaknya masa yang berlalu, sehinggalah potret besar di mahkamah beralih dari wajah Bush kepada Obama.

Di satu peringkat, Teri meninggalkan Hollander kerana percaya Salahi memang bersalah.

Bosnya bagaimanapun berpendirian nekad, dia hanya ingin memastikan Salahi mendapat perbicaraan yang adil.

Dia tidak mempedulikan apa pun badai.

Di sela itulah ditampilkan pihak pendakwaan, Leftenan Kolonel Stuart Couch (Cumberbatch) yang juga mencari satu sebab atau petunjuk untuk mendakwa Salahi.

Couch adalah seorang yang patriotik malah kehilangan teman dalam kejadian 9/11 itu.

Namun dia juga percaya tentunya ada seseorang yang bertanggungjawab atas pembunuhan di World Trade Center itu, cuma dia tidak percaya sesiapa sahaja boleh dipertanggungjawabkan.

Lapis demi lapis hayat Salahi yang ternyata sudah tepu itu (14 tahun dikurung) terdedah dan Hollander menemukan bagaimana dan mengapa pemuda tersebut membuat pengakuan (meskipun tiada bukti jelas).

Salahi diseksa dengan teruk sekali.

Malah, jika tidak kerana diari Salahi, kita tidak akan mengetahui bagaimana AS melanggar hak asasi manusia dan keluhuran perlembagaannya sendiri dengan menyeksa tahanan di Guantanamo.

Pelbagai jenis penyiksaan ditimpakan ke atas Salahi; dari curahan air, ke titis air; didedahkan kepada bunyi muzik kuat selama berjam-jam, temubual 18 jam sehari, tendang-pukul, seks paksa, serangan psikologi, direndam kepala di tengah laut dari bot laju, dan seribu satu macam lagi penyeksaan – Salahi tidak mengaku salah, sehingga satu saat dia patah.

Tahar Rahim, pelakon Perancis keturunan Arab yang masyhur di Eropah memberikan lakonannya yang terbaik.

Skrip lemah dan buntu dihidupkan olehnya dengan begitu mendalam.

Sebagai Salahi, Tahar menunjukkan bagaimana penjara 14 tahun itu tidak membekas pada jiwa seorang yang benar-benar tidak bersalah.

Pada satu ketika, untuk membolehkan dirinya waras; dia membayangkan alun ombak pantai Mauritania.

Satu saat lain, dia menerima penghinaan memalukan, diterajang diperkosa dan diaibkan.

Dalam tekanan demi tekanan yang makan tahun itu, Salahi menempelkan dirinya kepada sembahyang dan doa.

Tahar Rahim terlihat sungguh menjiwai watak sebagai Salahi, dan ini membolehkan pasangannya iaitu Jodie Foster sebagai Hollander ikut bernyawa.

Mereka bagai saling menyalurkan tenaga lakonan dan memastikan setiap dari mereka saling berkesan.

Jodie Foster sebagai pelakon pembantu serasa berbeza dari Taxi Driver (sebagai pelacur kanak-kanak), The Accused (mangsa perkosa), dan lakonan ikoniknya sebagai ejen FBI dalam Silence of the Lamb.

Ruang untuk Jodie Foster menonjolkan kebolehannya sangat terhad. Ruang lakonnya balik-balik adengan Hollander membaca pelbagai surat, atau dokumen berkaitan kes; dan pulang kembalinya ke Guantanamo; tetapi untuk seorang pelakon berpengalaman; dan kerja kamera yang bagus; segenap mimik muka, ketar marah dan empati bertukar kasihan yang terpancar pada matanya sudah memadai sehingga kesungguhan Nancy Hollander terapung sambil menahan rasa gentar kerana sudah dilabel sebagai peguam sang teroris.

Tidaklah mengejutkan, Jodie Foster berhasil meraih anugerah Golden Globe yang berlangsung kelmarin menerusi watak ini.

Sayang sekali Tahar Rahim, dan Cumberbatch terlepas pandang untuk pelbagai pencalonan musim anugerah Hollywood ini.

Bush membuka Guantanamo, Obama berjanji menutupnya tetapi tinggal janji.

Trump yang teruk itu menyimpannya; dan kini Biden pula berjanji menutupnya. Filem The Mauritanian ini bagai mengintai Rumah Putih. Ia adalah nota yang memomokkan setiap presiden.

Ada satu tips yang baik diperolehi dari pengalaman filem The Mauritanian ini, skrip yang tidak utuh kadang-kala dapat diwarnai dengan bagus sekali jika diberi kepada pelakon yang berpengalaman.

Namun, dalam “scene” filem tempatan kita akan melihat kedua-duanya sama buruk; lakon layar dan naratif yang hampas diperan oleh pelakon cap losyen kuning yang begitu permukaan.