- Iklan -
Berita

Chegubard ditahan kerana kenyataan konflik sempadan Malaysia-Indonesia, kata polis

Mereka menafikan bahawa penahanan itu ada kaitan dengan demonstrasi 'Selamatkan Malaysia' esok.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain (tengah) bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, 14 September. Gambar: Facebook
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain (tengah) bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, 14 September. Gambar: Facebook

Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin ditahan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang menyentuh konflik sempadan Malaysia-Indonesia, kata polis semalam, sekali gus menafikan mempunyai kaitan dengan demonstrasi "Selamatkan Malaysia" pada 16 September ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain berkata Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard, enggan memberikan kerjasama ke atas siasatan polis.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, Shuhaily berkata Badrul ditahan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang menyentuh konflik sempadan, pemilikan harta pemimpin negara serta pendedahan dokumen rahsia utama milik jabatan kerajaan di media sosial.

Beliau berkata polis menerima enam laporan polis dan membuka lima kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

“Polis memanggil beliau beberapa kali untuk memberi kerjasama, namun gagal menghadirkan diri malah polis juga kemukakan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kepadanya.

“Chegubard sendiri telah menandatangani akuan penerimaan notis itu, namun enggan hadir ke mana-mana balai bagi dirakam percakapan tanpa memberikan sebarang alasan,” katanya dipetik Bernama. 

Shuhaily berkata kegagalan Chegubard dalam membantu polis melengkapkan proses siasatan ke atasnya, seolah-olah mencabar proses siasatan dan perundangan negara.

“Ia termasuklah kegagalannya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pagi tadi, sekali gus menyebabkan tangkapan dibuat setelah mendapat Waran Tangkap dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam,” katanya. 

Shuhaily turut menafikan Badrul ditahan berhubung demonstrasi esok.

“Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa penahanan Chegubard pada malam ini tidak mempunyai kaitan dengan perhimpunan berkenaan pada Sabtu ini dan dia bukan salah seorang daripada pemohon perhimpunan,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.