- Iklan -
Berita

Anak perempuan Zahid serang Chegubard beberapa jam selepas ditahan

Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata polis memaklumkan kepadanya bahawa Chegubard tidak menjawab panggilan telefon berhubung laporan yang dibuat terhadapnya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Nurulhidayah Ahmad Zahid (kanan), dan gambar yang dikongsinya di Facebook ketika diambil keterangan di balai polis berhubung laporannya terhadap Badrul Hisham Shaharin.
Nurulhidayah Ahmad Zahid (kanan), dan gambar yang dikongsinya di Facebook ketika diambil keterangan di balai polis berhubung laporannya terhadap Badrul Hisham Shaharin.

Anak perempuan sulung Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan serangan terhadap aktivis politik Badrul Hisham Shaharin hanya beberapa jam selepas beliau ditahan polis di hadapan Pejabat Agung PAS malam tadi. 

Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard, enggan menjawab panggilan telefon bagi membantu siasatan mengenai laporan polis yang dibuatnya berhubung dakwaan beliau memiliki rumah bernilai RM20 juta di Kajang, Selangor. 

Polis telah memanggil Nurul untuk diambil keterangan pada Rabu.

“Aku tanya IO 'Apa status laporan saya tuan?' 

“Dia kata siasatan masih tidak lengkap selagi Chegubard tidak datang untuk beri kenyataan dan dia tak jawab call dan WhatsApp lagi sehingga lebih kurang jam 3 lebih petang bertarikh 12 September 2023," tulisnya dalam kiriman di Facebook.

Chegubard sebelum ini menjawab sindiran Nurul di Facebook, di mana beliau berkata polis memaklumkannya bahawa Badrul tidak menjawab panggilan polis.

“Sibuk sangat ker? Mohon beri kerjasama. Ker acah-acah berani di media sosial jer? soal Nurul sambil diiringi sekeping gambarnya di hadapan pegawai penyiasat. 

Dalam responsnya, Chegubard berkata sebagai anak kepada timbalan perdana menteri, Nurul akan mendapat akses kepada siasatan polis.

Bekas pemimpin PKR itu berkata beliau sudah menjawab panggilan polis pada Rabu tetapi diberitahu oleh pegawai penyiasat akan dihubungi kemudian. 

Nurul berkata, beliau sedang menunggu laporan lengkap daripada polis bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap Chegubard.

Malam tadi, polis menahan Chegubard di hadapan Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, sewaktu beliau menghadiri mesyuarat dengan penganjur perhimpunan "Selamatkan Malaysia" bagi membantah keputusan Jabatan Peguam Negara menghentikan perbicaraan Zahid atas 47 pertuduhan rasuah. 

Polis bagaimanapun menafikan penahanan itu ada kaitan dengan perhimpunan itu, sebaliknya berkata ia dikaitkan dengan kenyataan Chegubard yang menyentuh isu sempadan antara Malaysia dan Indonesia. 

Chegubard yang juga penganjur utama protes itu, sebelum ini memberitahu akhbar bahawa satu pengumuman penting akan dibuat menjelang perhimpunan tersebut.

Ia dijangka berlangsung di Kampung Baru, Kuala Lumpur petang esok.

Polis sebelum ini menyoal beberapa ahli politik pembangkang berhubung perhimpunan itu, termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia Hilman Idham. 

Kumpulan hak asasi manusia dan peguam menuduh polis dan pemimpin kerajaan melakukan intimidasi, dan menggesa pihak berkuasa membenarkan perhimpunan itu.