- Iklan -
Berita

Najib dalam proses dibebaskan selepas DNAA Zahid ‘berjaya’

Namun pembebasan bekas perdana menteri itu bukan sekadar hanya dikeluarkan dari penjara.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi anggota keselamatan pada perbicaraan mahkamah di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak, diiringi anggota keselamatan pada perbicaraan mahkamah di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Najib Razak, individu paling berprofil tinggi yang disabitkan bersalah dalam salah satu skandal kewangan terbesar , dikatakan sedang menuju kepada pembebasan, lebih setahun selepas mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos lalu tahun, MalaysiaNow difahamkan daripada perbualan dengan beberapa individu yang terlibat dalam perbincangan mengenai nasib bekas perdana menteri itu.

Dipercayai sejak beberapa bulan ini, perbincangan sedang dijalankan melibatkan ahli keluarga Najib serta pemimpin kanan Umno yang bersekutu dengannya, sebagai sebahagian daripada syarat parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang membawa kepada pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri susulan Parlimen tergantung tahun lalu.

Najib menjadi bekas perdana menteri pertama yang dihumban ke penjara selepas gagal dalam rayuan terakhirnya Ogos lalu terhadap sabitan dan penjara 12 tahun atas penyelewengan RM42 juta daripada SRC International, satu daripada banyak kes yang dikaitkan dengan skandal 1MDB yang turut melibatkan beberapa negara. 

Satu sumber Umno yang berkongsi butiran kritikal perbincangan baru-baru ini kepada MalaysiaNow mengesahkan pembebasan bekas presiden parti itu "seterusnya dalam perancangan", dengan kes pemberhentian mengejut perbicaraan kes Ahmad Zahid Hamidi sedang "dipantau dengan teliti".

Sekurang-kurangnya dua orang kuat Umno yang dikaitkan dengan penyokong setia Najib menyatakan keyakinan tentang "berita baik tidak lama lagi”.

"DNAA untuk Zahid adalah ‘raptai’ tentang apa yang boleh dijangkakan berlaku,” kata pemimpin Umno itu, merujuk kepada penghakiman dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kepada Zahid. 

Seorang lagi individu yang mengetahui perbincangan itu berkata membebaskan Najib "sebenarnya adalah agenda utama semasa rundingan antara PH dan pemimpin Umno di (hotel) Seri Pasifik", merujuk kepada pertemuan yang membawa kepada kerjasama kedua-dua pihak untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum tahun lalu. 

"Anwar sendiri pernah menyatakan bahawa beliau pernah mendapat sokongan daripada Najib dengan syarat pertuduhan beliau akan digugurkan. Sangat jelas sekarang Najib menyokong penuh kerjasama yang dicapai partinya dengan Anwar," tambah sumber itu. 

Pada Jun tahun lepas, Anwar mengakui Zahid dan Najib menyokongnya untuk jawatan tertinggi itu, tetapi mendakwa beliau tidak boleh mengambil kira sokongan mereka kerana mereka mahu pertuduhan digugurkan.

“Saya tidak bersedia untuk lakukan itu walaupun jumlah SD mencukupi dan laluan untuk jadi perdana menteri sudah cukup kuat, saya tidak boleh berkompromi soal kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Walaupun begitu, Anwar dan pemimpin PH sekali lagi mendapatkan sokongan Zahid selepas pilihan raya umum. 

"Kali ini, lebih mudah bagi Zahid untuk meletakkan syarat, memandangkan ia mungkin satu-satunya peluang yang mungkin untuk PH, dan Anwar, untuk mencapai cita-cita sepanjang hayatnya," tambahnya.

Proses pengampunan 'terlalu rumit’

Umno telah berkempen untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Najib, sama seperti pengampunan yang diberikan kepada Anwar atas sabitan liwatnya pada 2018. 

Bagaimanapun sumber Umno yang sama memberitahu MalaysiaNow bahawa proses pengampunan itu agak rumit, dan juga boleh mendatangkan malapetaka kepada Anwar yang sedang bergelut untuk mengemudi kerajaan pakatannya yang rapuh.

"Kami melihat peluang yang lebih baik untuk Najib dibebaskan melalui mahkamah," katanya, tetapi enggan memberikan butiran lanjut. 

Najib sudah berulang kali berkata beliau lebih suka membersihkan namanya melalui proses kehakiman dan bukannya pengampunan diraja. 

Sementara itu, seorang pemimpin PKR di Selangor memberitahu MalaysiaNow bahawa kebimbangan yang lebih besar ialah bagaimana untuk menguruskan kritikan rakyat kerana kerajaan masih bergelut untuk meredakan kemarahan terhadap DNAA Zahid. 

“Reaksi media antarabangsa yang akan menghakis lagi kredibiliti Anwar tidak penting, ada kebimbangan yang lebih besar tentang penentangan rakyat," katanya.

Satu langkah, katanya ialah penggerak propaganda PH bersedia untuk menjalankan kempen besar-besaran untuk "menyedarkan penyokong" supaya menerima pembebasan Najib.

"Fasa pertama kempen itu datang dalam bentuk naratif oleh pemimpin PH bahawa DNAA Zahid bukan salah kerajaan, dan ia berdasarkan dokumen yang bocor," katanya merujuk kepada memorandum yang dikatakan oleh pendakwa raya pada 2018 kepada peguam negara Tommy Thomas.

Dokumen itu, yang masih belum dapat dibuktikan kesahihannya, dicanang oleh penyokong Zahid untuk mewajarkan permohonan DNAA itu. 

Tetapi pemimpin PKR itu berkata pembebasan Najib akan lebih bermasalah kerana publisiti antarabangsa yang dijana oleh skandal 1MDB.

"Sekarang, bagaimana untuk menguruskan kesan politik selepas membebaskan orang yang kesnya melambangkan kerosakan imej antarabangsa Malaysia?" soal beliau. 

"Sejak 10 bulan lalu, kami berjaya menenangkan perasaan beberapa penyokong dengan melihat Zahid bergaul dengan pemimpin DAP. Ini penting dalam menetapkan mood untuk apa sahaja perkara yang lebih besar yang akan terdedah pada hari dan minggu akan datang," tambahnya.