- Iklan -
Berita

Jangan selindung kelemahan tata kelola, kata KSN

Mohd Zuki Ali berkata pentadbiran kerajaan tanpa rasuah bermula daripada tadbir urus yang baik dan berintegriti tinggi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri. Gambar: Bernama
Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri. Gambar: Bernama

Isu kelemahan tata kelola yang melibatkan kepentingan negara dan menyebabkan ketirisan wang kerajaan perlu diberi perhatian serta dicari jalan penyelesaian, dan bukannya diselindungi atau ‘sweep under carpet’ , kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata isu kelemahan tata kelola berlaku disebabkan adanya ruang dan peluang untuk salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan serta kelemahan pentadbiran; dan peluang itu boleh wujud apabila berlaku kelemahan dalam kawalan dalaman serta perundangan.

Katanya sebagai contoh, kelewatan memberi perkhidmatan akibat karenah birokrasi, sedangkan pelanggan berkehendakkan perkhidmatan itu dengan segera, dan keadaan itu boleh mewujudkan peluang rasuah untuk mendapatkan perkhidmatan yang cepat.

"Sehubungan itu, sistem dan prosedur yang dikenal pasti tidak cekap dan membuka ruang peluang itu perlulah diubah dan ditambah baik," katanya dalam ucapan pada Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di Sepang hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam Azhar Ahmad.

Zuki berkata kerajaan amat serius dalam memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negara bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Pentadbiran kerajaan tanpa rasuah bermula daripada tata kelola yang baik dan integriti yang tinggi," katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi