- Iklan -
Berita

Tiada tindakan boikot dalam MCA terhadap calon PH, kata Wee menjelang PRK Pulai

Presiden MCA menafikan dakwaan menjelang pilihan raya kecil pada 9 September ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden MCA Wee Ka Siong. Gambar: Bernama
Presiden MCA Wee Ka Siong. Gambar: Bernama

Presiden MCA Wee Ka Siong hari ini menafikan berlaku tindakan boikot dalam kalangan ahli atau penyokong parti itu terhadap calon Pakatan Harapan Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai pada 9 September ini.

Beliau berkata sebaliknya jentera MCA akan berusaha memastikan sekurang-kurangnya 70% pengundi Cina di Parlimen itu keluar mengundi sekali gus membantu memenangkan calon yang mewakili kerajaan campuran.

"Kita hadir hari ini malahan sejak minggu lepas lagi, apa yang hendak diboikot. Kita juga telah beri taklimat kepada jentera dan maklumkan kawasan tumpuan, ia sudah dilakukan, kita telah berkampung dan berkempen.

"Saya tidak tahu dari mana datang khabar angin itu. Kalau ada orang nak cakap, biarlah mereka bercakap, daripada pihak kita langsung tiada boikot,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama pemimpin Cina di pejabat MCA di Johor Baharu yang turut dihadiri Suhaizan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan berlaku tindakan boikot terhadap Suhaizan dalam kalangan ahli dan penyokong MCA. 

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga berkata setakat ini, respons masyarakat Cina kepada Suhaizan amat positif kerana beliau bukan nama asing di Johor. 

"Beliau pernah menjadi Speaker DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor di bawah tiga menteri besar. Beliau juga bukan calon bidan terjun sebaliknya telah lama berkhidmat di Parlimen ini.

"Apa yang penting, rakyat perlu memilih calon parti yang boleh menjamin kestabilan politik namun cabaran ketika ini adalah memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka," katanya. 

PRK bagi Parlimen Pulai bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara Suhaizan, calon Perikatan Nasional Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 5 September dan hari mengundi pada 9 September.