- Iklan -
Berita

Kumpulan peguam kritik sikap hipokrit kerajaan pertahan tindakan kawal media

Lawyers for Liberty mengimbas kembali penentangan terhadap Akta Antiberita Palsu yang digubal bekas perdana menteri Najib Razak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata suruhanjaya itu tertakluk di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai badan kawal selia bagi industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata suruhanjaya itu tertakluk di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai badan kawal selia bagi industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengkritik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas mempertahankan tindakannya terhadap portal berita yang disifatkan sebagai "tidak bertanggungjawab", mengingatkan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentang penentangannya terhadap Akta Antiberita Palsu yang digubal oleh pentadbiran terdahulu di bawah Najib Razak. 

Ia berkata alasan yang sama digunakan oleh SKMM untuk menyekat berita dan kritikan terhadap skandal 1MDB yang kemudiannya terbukti benar. 

"Cubaan kerajaan untuk mengawal media menggunakan alasan menghalang berita palsu atau tidak tepat adalah ciri pemerintahan diktator," tambahnya.

"Adakah hanya berita yang diluluskan kerajaan untuk sampai kepada orang ramai? Sungguh menggerunkan bahawa kerajaan ketika ini cuba melindungi 'kebenaran' dengan menyekat media demi 'keharmonian' masyarakat."

SKMM dalam satu kenyataan pada 1 September menegaskan tindakan yang diambil terhadap organisasi media yang tidak bertanggungjawab bukan untuk menyekat kebebasan media, tetapi "bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan fitnah ataupun maklumat yang kurang tepat.

Ia juga berkata suruhanjaya itu bertindak di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai badan kawal selia bagi industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

"Salah satu Matlamat Dasar Kebangsaan SKMM ialah untuk memberikan perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada kandungan dalam talian yang memudaratkan, termasuk maklumat kurang tepat dan ucapan berbaur kebencian, serta melindungi integriti Raja Berperlembagaan dan institusi demokrasi dengan penghormatan daripada sebarang percubaan untuk mencetuskank ebencian atau penghinaan," kata suruhanjaya itu dalam maklum balas kepada kenyataan pemantau media global Reporters Without Borders (RSF).

RSF menyatakan kebimbangan terhadap gelombang sekatan baru-baru ini oleh pihak berkuasa yang dikatakan dilakukan "tanpa sebarang penjelasan atau tindakan undang-undang, terhadap laman berita yang mengkritik kerajaan".

"Kami menggesa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, untuk menghentikan sekatan ini, yang hanya boleh memberi kesan negatif kepada demokrasi Malaysia," kata Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF Cédric Alviani dalam satu kenyataan.

Kenyataan RSF itu menyusuli satu lagi gesaan daripada wartawan kanan yang memberi amaran kepada suruhanjaya itu supaya tidak memainkan peranan sebagai "Big Brother", dengan mengatakan ia mengingatkan amalan oleh pentadbiran terdahulu untuk mendiamkan pengkritik ke atad elit politik. 

LFL berkata nampaknya terdapat "amnesia kolektif" di pihak kerajaan bahawa Akta Antiberita Palsu sudah dimansuhkan. 

"Di manakah semangat PH sebelum ini dalam menentang sebarang tindakan tegas terhadap kebebasan bersuara atas alasan berita palsu?" tambah kumpulan itu.

Ia juga mengulangi gesaan bahawa berita palsu atau tidak tepat tidak termasuk dalam sekatan kebebasan bersuara yang dibenarkan di bawah Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. 

"Justeru, tindakan yang dijalankan oleh SKMM dan Fahmi adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan menyalahgunakan kuasa secara terang-terangan," katanya. 

"Tuntutan SKMM untuk menapis maklumat palsu, mengelirukan atau tidak tepat nampaknya merupakan alasan yang tidak munasabah untuk mengekang media yang tidak sehaluan atau bersikap kritikal.

"Sebagai sebuah kerajaan yang mendakwa komited kepada pembaharuan, mereka mesti memahami kepentingan media bebas untuk memastikan demokrasi kita berfungsi.

"Oleh itu, kerajaan ketika ini mesti segera menghentikan tindakan menyekat portal berita atau media menggunakan alasan mudah iaitu berita palsu. 

"Media mesti kekal bebas supaya negara tidak terjerumus ke dalam kancah kezaliman."