- Iklan -
Berita

Mais 'bebaskan' Fahmi daripada dakwaan berkempen di masjid

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor berkata menteri komunikasi dan digital itu hanya menjawab soalan mengenai persembahan kontroversi oleh kumpulan The 1975.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Fahmi Fadzil berucap di dalam masjid di Kuang, Selangor. Ketua penerangan PKR itu berkata beliau dijemput oleh masjid untuk menjelaskan insiden 'bercium pasangan gay' semasa konsert di Sepang pada 30 Julai.
Fahmi Fadzil berucap di dalam masjid di Kuang, Selangor. Ketua penerangan PKR itu berkata beliau dijemput oleh masjid untuk menjelaskan insiden 'bercium pasangan gay' semasa konsert di Sepang pada 30 Julai.

Isu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang didakwa berkempen di dalam sebuah masjid di Kundang, Rawang pada Julai lepas dianggap selesai, menerusi siasatan yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof berkata siasatan pihaknya mendapati, pengarah komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu hanya menyatakan tentang isu semasa dan bukan berkaitan isu politik.

“Dia (Fahmi) menjawab soalan berkaitan dengan konsert (aksi biadap oleh vokalis kumpulan muzik The 1975) dan tindakan yang diambil untuk menamatkan konsert berkenaan, kerana telah melanggar syarat yang telah dipersetujui bersama.

“Dia tidak sebut politik dalam masjid, pada pandangan saya (isu ini) selesai. Dia datang mahu solat, dia cari masjid dan surau berdekatan. Sebagai menteri dia jawablah dengan jelas soalan yang ditanya jemaah,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Program Serahan Jalur Gemilang dan pelepasan Konvoi Ziarah Merdeka MAIS di Shah Alam hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial beberapa keping gambar Fahmi, dengan dakwaan beliau berucap mengenai isu politik di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata MAIS menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyantuni dan membantu waris Allahyarham Sharipuddin Shaari, salah seorang mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lepas.

Beliau berkata bantuan kecemasan sebanyak RM500 diberikan oleh LZS kepada balu mangsa Suriana Muda, yang merupakan suri rumah pada 21 Ogos.

“Semakan juga mendapati waris perlu menanggung dua orang anak yang masih bersekolah dan ada beberapa cadangan bantuan mahu disampaikan, tapi kita tengok pada kelayakan dahulu antaranya bantuan kewangan bulanan, sewa rumah, makanan dan persekolahan,” katanya.

Pada 17 Ogos, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing, yang menggunakan lebuh raya berkenaan.