- Iklan -
Berita

SKMM kesal dengan kenyataan TV Pertiwi

Menurut pengawal selia perkhidmatan internet itu sebarang pendedahan berkaitan perkara tersebut boleh menjejaskan siasatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di ibu pejabatnya di Cyberjaya.
Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di ibu pejabatnya di Cyberjaya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kesal dengan kenyataan dikeluarkan TV Pertiwi berhubung isu sekatan terhadap portal berita itu memandangkan proses siasatan masih dijalankan.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan semasa pertemuan dengan TV Pertiwi pada 22 Ogos lepas pihaknya menjelaskan bahawa proses siasatan sedang dijalankan dan sebarang pendedahan berkaitan perkara itu boleh menjejaskan siasatan.

"SKMM kekal teguh dalam menjalankan kewajipannya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menghalang sebarang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan, terutamanya berkaitan kandungan palsu atau jelik," menurut kenyataan itu.

Jumaat lepas, Ketua Pegawai Operasi TV Pertiwi Mohd Firdaus Salleh menegaskan tidak akan 'menurunkan' (memadam) enam kandungan yang didakwanya telah diminta SKMM untuk melakukan demikian.

Beliau berkata ini kerana pihaknya tidak diberi penjelasan secara terperinci berkaitan kesalahan dan pelanggaran undang-undang yang dilakukan TV Pertiwi.

Pada 18 Ogos lepas, portal berita TV Pertiwi dilaporkan disekat oleh SKMM, dua hari selepas akaun TikTok miliknya disekat. 

TV Pertiwi merupakan satu platform berita dalam talian yang dikendalikan oleh Kerengga Merah Sdn Bhd (KMSB) yang ditubuhkan pada Julai 2018.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.