- Iklan -
Berita

Di Terengganu, BN berdepan undi protes akar umbi, penyokong

Pemimpin akar umbi dan penganalisis menyifatkan sokongan Barisan Nasional di Terengganu sebagai 'rapuh'.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Barisan Nasional dan PAS berdiri di luar pusat pengundian awal di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, 8 Ogos. Gambar: Bernama
Penyokong Barisan Nasional dan PAS berdiri di luar pusat pengundian awal di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, 8 Ogos. Gambar: Bernama

Hasrat Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Terengganu daripada PAS mungkin tidak kesampaian kerana faktor penolakan atau protes daripada ahli parti itu, kata pemimpin akar umbi dan penganalisis politik.

Pemimpin akar umbi berkata wujud penolakan dalam kalangan ahli kerana mereka kecewa dengan isu dalaman parti dan kerjasama bersama DAP.

Meluahkan kebimbangan itu ialah Ketua Wanita Umno Cawangan Ladang Sahak Gayah Abdullah yang berkata penolakan akar umbi itu bakal merisikokan peluang BN untuk bangkit semula dan menebus kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 di negeri Pantai Timur tersebut.

Malah beliau tidak menolak kesukaran BN mengekalkan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu dalam PRU14.

"Akar umbi sebenarnya amat kecewa dengan kepimpinan presiden Ahmad Zahid Hamidi. Mereka melihat banyak perkara yang dilakukan presiden itu menyimpang daripada matlamat atau prinsip Umno.

"Ini termasuk apabila dengan mudahnya Umno boleh menerima DAP, ia sangat sukar diterima orang Melayu di sini termasuk pengikut tegar parti sendiri.

"Sentimen yang kata undi BN dapat DAP itu memang sangat ditakuti terutama yang duduk di kampung, kawasan luar bandar di sini," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Gayah, kesan daripada sentimen itu dapat dilihat melalui jumlah pengundi putih yang merosot sebagai contoh di cawangannya hanya tinggal 40% sahaja pada PRN kali ini.

"Sebab itu saya kata susah sebenarnya BN nak menang, kalau menang pun mungkin disebabkan kekuatan calon itu sendiri bukan kerana kekuatan parti," katanya.

BN dilihat terdesak untuk menang di Terengganu selepas kekalahan teruk parti itu pada PRU15 yang menyaksikan semua lapan kerusi di Parlimen negeri itu disapu bersih Perikatan Nasional (PN).

Ia merupakan kekalahan berturut-turut buat BN selepas gagal mempertahankan Terengganu pada PRU14.

Pada PRU14, BN Terengganu hanya memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN dan dua daripada lapan kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu.

Manakala PAS berjaya memenangi dua pertiga majoriti iaitu dengan jumlah 22 kerusi DUN sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini,yang menyaksikan kali pertama kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH), parti itu meletakkan 27 calon bertanding di kerusi DUN dan lima kerusi lagi ditandingi PH.

Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu BN memberi laluan kepada PKR menerusi calonnya Azan Ismail.

Sementara itu BN Terengganu mengakui wujudnya penolakan dalam kalangan akar umbi namun ia tidak begitu besar.

Timbalan Pengerusi BN Terengganu Nik Dir Wan Ku berkata penolakan itu hanya berlaku kepada sebahagian kecil akar umbi yang setia kepada bekas pemimpin  Umno yang “mengkhianati parti” seperti Hamzah Zainudin, Noh Omar, Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa.

“Kalau konteks di Terengganu tidak ada, kalau ada pun hanya sedikit sahaja mereka ini pengikut yang setia dengan pemimpin tersebut,” katanya.

Nik Dir yang juga merupakan calon kerusi DUN Pengkalan Berangan berkata pihaknya sentiasa memberikan penjelasan kepada akar umbi.

Beliau berkata bagi Umno Terengganu Zahid adalah hero kerana menyelamatkan parti itu daripada cubaan untuk dibubarkan.

“Zahid adalah hero kepada kami kerana dia selamatkan Umno. Saya selalu terangkan kepada akar umbi.

“Bahawa Zahidlah yang dapat kembalikan kepercayaan rakyat dan beliau lah yang mengambil alih tampuk kepimpinan Umno saat Umno tidak ada kuasa,” katanya.

Ditanya berapakah sasaran kerusi BN pada kali ini, jawabnya yakin dengan kemenangan 19 kerusi sekali gus dapat membentuk kerajaan negeri.

Penolakan akar umbi BN

Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Yusri Ibrahim mendedahkan hasil pemerhatian di lapangan mendapati memang berlakunya penolakan akar umbi BN.

Beliau berkata jumlah itu agak besar dan signifikan kerana kelompok itu sudah menyatakan kesediaan untuk beralih kepada PN.

Katanya, antara isu besar yang terkait dengan sentimen tersebut ialah krisis dalam parti dan kegagalan kepimpinan menjelaskan kewajaran Umno bekerjasama dengan PH.

“Perkara itu masih belum diselesaikan secara tuntas oleh kepimpinan menyebabkan ada sebahagian ahli tidak puas hati dan merasakan ada benda tidak selesai.

“Jadi mereka mula nyatakan hasrat untuk beralih kepada PN dalam PRN dan jumlah ini cukup besar dan signifikan,” katanya.

Katanya lagi, kerapuhan undi BN ini berdasarkan daripada corak pengundian dalam PRU15.

Katanya undi BN adalah paling tidak stabil berbanding PH dan PN.

“Jadi kalau dalam konteks Terengganu, yang mendapat keuntungan adalah PN kerana ketidakstabilan undi daripada pengundi BN,” katanya.

Oleh itu beliau berkata berdasarkan situasi tersebut, BN akan berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan 10 kerusi DUN milik parti itu dalam PRN ini.