- Iklan -
Berita

Saya hilang rasa hormat pada Ramasamy, kata Loke

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu menjadi pemimpin DAP terbaru yang bertindak keluar parti kerana tidak berpuas hati terhadap pengerusi parti Lim Guan Eng.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke telah membidas P Ramasamy, menggelar timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu sebagai pembohong hanya beberapa jam selepas beliau mengumumkan keluar parti.

Loke berkata Ramasamy telah berbohong apabila beliau mendakwa tidak dimaklumkan mengenai keputusan menggugurkannya daripada senarai calon Pilihan Raya Negeri.

“Saya berasa amat kesal dengan tindakan Ramasamy yang sanggup membohong dalam perkara ini. Pembohongan ini menghilangkan semua rasa hormat saya kepada beliau sebagai bekas pensyarah saya,” kata Loke, sambil menambah bahawa sesiapa yang keluar parti kerana tidak dicalonkan "tidak ikhlas dan setia kepada perjuangan parti".

“Mereka hanya menunggang parti demi kedudukan dan jawatan. Apabila tiada lagi jawatan, parti ditinggalkan.”

Ramasamy juga berkata Loke tidak cukup jujur untuk mengakui bahawa pengguguran enam penyandang DAP "adalah pembersihan politik yang dimulakan oleh Maharaja", merujuk kepada pengerusi DAP yang dituduh campur tangan dalam pemilihan calon parti itu di Pulau Pinang.

Beliau juga mengutuk Loke sebagai seorang "yang tidak mempunyai asas kesopanan dan keberanian dalam menyatakan hak orang bukan Melayu".

"Pendek kata, dia tidak tahu erti keikhlasan. Mungkin dia belum cukup belajar. 

“Dia tidak mempunyai asas keberanian untuk menentang kehendak dan angan-angan Maharaja dalam DAP. Dia bergantung kepadanya selama-lamanya," kata Ramasamy.

Ramasamy ketika mengumumkan keluar parti hari ini berkata walaupun tidak kisah digugurkan kerana faktor usia, beliau tidak boleh menerima keputusan menggugurkan penyandang lain. 

Namun Ramasamy berkata Loke tidak mempunyai "adab atau budi bahasa" untuk memaklumkan kepadanya berkenaan penggugurannya, sambil menambah bahawa beliau melakukan begitu banyak untuk menggerakkan sokongan orang India untuk DAP.

Ramasamy, yang menjadi Adun selama tiga penggal, sebelum ini berkata beliau bersetuju dengan pandangan penyandang Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy, yang turut digugurkan sebagai calon, bahawa mereka yang tidak disenaraikan adalah mereka yang menyokong Chow Kon Yeow untuk kekal sebagai ketua menteri. 

"Adalah jelas bahawa pemilihan itu berdasarkan pendirian politik dalam DAP Pulau Pinang. 

“Maksud saya pemilihan dibuat kerana penjajaran politik," katanya pada sidang media 26 Julai lalu, yang membidas "maharaja" yang identitinya diketahui semua orang. 

"Kami mempunyai demokrasi di Pulau Pinang; kami tidak memerlukan maharaja di Pulau Pinang. Saya tidak berada dalam kem maharaja; saya telah dicantas. Saya memberitahu maharaja: anda bukan maharaja selama-lamanya," kata Satees.