- Iklan -
Berita

‘Konsep Rahmah’ diperluas, peruntukan tambahan RM50 juta di seluruh DUN

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ini akan memastikan rakyat di setiap DUN di seluruh negara mendapat manfaat daripada konsep itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berkumpul di sekitar gerai jualan Rahmah di Tumpat, Kelantan, 14 Julai. Gambar: Bernama
Orang ramai berkumpul di sekitar gerai jualan Rahmah di Tumpat, Kelantan, 14 Julai. Gambar: Bernama

Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi memperluas konsep Rahmah yang diusahakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tambahan itu membolehkan kementerian memastikan rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara mendapat manfaat daripada konsep berkenaan.

“Saya mahu perjuangan Rahmah ini diperluaskan...kementerian ada mengusulkan kalau boleh kita perluas di kawasan DUN, saya akan pastikan untuk menyegerakan pelaksanaan ini berperingkat dan kita luluskan tambah RM50 juta. 

Kita lakukan ini kerana ia menyentuh secara langsung golongan berpendapatan rendah kerana tidak ada makna bicara soal rahmah, tiada makna bicara soal perjuangan, tiada erti bicara soal ihsan, belas kasihan dan prihatin kalau soal makanan mereka (rakyat) pun tidak terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penutupan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Pavilion Bukit Jalil, di Kuala Lumpur semalam.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif itu kerana berjaya memaknai erti ihsan dan rahmah yang diketengahkan menerusi konsep Malaysia Madani dan  mahu mereka mempertahankan rekod yang dipamerkan agar rakyat terus mendapat manfaatnya.

Beliau percaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dan pegawai di kementerian yang terlibat dalam membawa agenda itu ke hadapan. 

“Pertahankan rekod dan tekad lagi. Ada kejayaan awal yang dilakukan dan perbelanjaan juga tinggi serta kerjasama ramai syarikat yang saya tak dapat nak sebut kerana ramai sekali.

Saya beritahu Salahuddin (Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub) sebelum ini bila kerajaan ambil inisiatif Rahmah dan disambut oleh restoran, kedai dan toko-toko, saya sangat rasa terharu dan kita patut adakan satu majlis penghargaan kepada mereka,” kata Anwar.

Salahuddin, yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia pada 23 Julai lepas. 

Semasa hayatnya beliau  amat komited dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.

Kementerian yang diterajuinya itu menggerakkan inisiatif Payung Rahmah dengan pelbagai program untuk membantu golongan sasar antaranya Jualan Rahmah iaitu program jualan murah sepanjang tahun 2023 oleh pasar raya besar dan pasar raya dan Bakul Rahmah yang menyasarkan sumbangan berbentuk bakul makanan (keperluan harian) bernilai RM100.

Barangan keperluan itu adalah beras, gula, minyak masak, tepung, susu pekat, bihun dan telur yang akan disumbangkan oleh rakan strategik kepada kumpulan sasar.

Menu Rahmah pula adalah program kementerian itu bersama rakan strategik yang terdiri daripada Pengusaha Kedai Makanan (Bermasak) dan Persatuan Pengusaha Restoran dan Gerai Makanan dalam usaha kerajaan membantu serta mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin tegar dalam kalangan B40. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi