- Iklan -
Berita

Semua exco Kedah dipanggil beri keterangan kepada SPRM, kata Sanusi

Menteri besar Kedah berkata lebih ramai lagi akan dipanggil.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kesemua exco kerajaan negeri itu diminta memberi keterangan berhubung kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata ada dalam kalangan exco yang telah memberi keterangan masing-masing pada hari ini, sementara selebihnya dijangka akan berbuat demikian, esok.

"Saya pun hairan, pasal tak pernah lagi exco-exco, tiap-tiap orang dipanggil untuk mengesahkan minit mesyuarat Exco. Ada exco yang dah beri keterangan, ada yang belum.

"Saya difahamkan semua akan beri keterangan di Alor Setar. Hari ini ada (yang sudah beri keterangan), esok pun ada, saya lepas itu mungkin (beri keterangan)," katanya pada sidang media di Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 di Alor Setar semalam.

Sanusi berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada beliau dipanggil SPRM untuk dirakam percakapan berhubung kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah. 

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian REE di Kedah.

Azam berkata pihaknya juga menjangkakan akan ada lagi saksi dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk Sanusi.

Sementara itu, pada sidang media sama Sanusi berkata dia juga akan memberi keterangan kepada polis hari ini, namun tidak pasti ia berkaitan kes apa.