- Iklan -
Berita

Kes Guan Eng beza, tak sentuh institusi diraja, kata KPN

Menurut Razarudin, kertas siasatan terhadap pengerusi DAP itu sudah dihantar ke AGC.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Gambar: Bernama

Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain berkata siasatan terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng tidak melibatkan institusi diraja menjadikan ianya berbeza dengan siasatan yang dijalankan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.  

Katanya, kertas siasatan yang dibuka untuk menyiasat Lim dan juga Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak menyentuh sensitiviti libat institusi diraja. 

"Dia tiada menyentuh langsung institusi diraja, beza," katanya pada satu sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, kedua-dua kertas siasatan lengkap sebanyak 70% dan sudah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam. 

Bagaimanapun, katanya, terdapat siasatan yang perlu diselesaikan dari aspek penyimpanan data (data preservation) dan forensik. 

Beliau berkata demikian selepas mempertahankan tangkapan polis terhadap Sanusi pada jam 3 pagi tadi.

Menurut Razarudin, polis bertindak sedemikian selepas Sanusi gagal dihubungi untuk memaklumkan kehadirannya ke mahkamah hari ini. 

"Maka disebabkan kita tidak dapat menelefon beliau untuk memaklumkan, kita cuba untuk mencari beliau dan kita dapat jumpa beliau pada 2.30 pagi di kawasan Mont Kiara."

Terdahulu, Sanusi pada sidang media selepas dibacakan pertuduhan menegaskan beliau sudah mengesahkan kehadiran ke mahkamah tetapi masih didatangi oleh pihak polis.