- Iklan -
Berita

Peniaga, suri rumah selar J-KOM berhubung harga barangan

Antara lain, mereka mengatakan adalah tidak realistik untuk berfikir bahawa keluarga yang mempunyai anak hanya akan makan dua ekor ayam sebulan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita mencari barangan runcit di sebuah pasar raya di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.
Seorang wanita mencari barangan runcit di sebuah pasar raya di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.

Seawal jam 4.30 pagi, Jai memulakan harinya sebagai pengusaha warung dan penebar roti canai. 

Sebelum matahari terbit, dia sudah dikunjungi beberapa pelanggan tetapnya yang mahu menikmati sarapan pagi sambil memerhati ibu kota yang mulai sibuk dengan urusan harian manusia.

Di beberapa meja, kedengaran suara-suara pelanggan Jai rancak bercerita tentang kos sara hidup yang saban hari membebankan poket mereka.

Tinjauan MalaysiaNow di warung Jai di Taman Melawati, Kuala Lumpur untuk mendengar sendiri keluhan mereka terhadap cadangan harga yang dikemukakan oleh kerajaan bahawa perbelanjaan dapur bagi mereka yang berkeluarga di bawah harga RM500 sebulan manakala bagi individu bujang pula sekitar RM300 sebulan.

Mereka dengan tegas mengatakan harga itu tidak relevan bahkan item yang dicadangkan juga tidak munasabah.

Jai berkata, mustahil bagi mereka yang berkeluarga hanya membeli barangan berupa beras, telur, minyak masak dan ayam mentah.

Dia mempersoalkan, bagaimana pula dengan barangan masakan seperti sayur-sayuran, gula, garam dan tepung selain keperluan harian yang mendesak seperti lampin bayi, susu anak, tuala wanita dan kos membeli ubat-ubatan.

“Berapa ringgit baru cukup? Kalau keadaan sekarang ini, RM1000 sebulan bagi orang berkeluarga pun boleh dikatakan cukup makan, tak mewah,” katanya.

Pada Khamis, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) jadi sasaran pengguna media sosial yang memuat naik infografik menganggarkan belanja dapur untuk keluarga seramai empat orang hanya RM397.80 sebulan atau RM99.45 seminggu.

Perbelanjaan itu meliputi dua ekor ayam mentah dengan berat empat kilogram  (RM37.60), beras 10kg (RM38), minyak masak dua kilogram (RM13.80) telur sepapan (RM14) dua buku roti (RM8.60) dan gas memasak 12kg (RM25.80).

Hantaran tersebut menerima lebih 12,000 komen dan lebih 10,000 reaksi pengguna.

J-KOM kemudiannya bertindak memadamkan hantaran tersebut pada pagi Jumaat.

Sementara itu, seorang suri rumah ketika ditemui sedang membeli barangan dapur di pasar segar di Brickfields di Kuala Lumpur menafikan anggaran perbelanjaan tersebut mengatakan hampir semua barangan dapur sudah meningkat terlalu mendadak.

Jeyanthi berkata, dengan duit tunai sebanyak RM400 ke pasar pun tidak cukup untuk memenuhi keperluan mingguan baginya sekeluarga.

Katanya, bagi barangan basah untuk memasak lauk pauk di rumah, peruntukan sebanyak RM200 hingga RM250 juga tidak mencukupi.

Bahkan, untuk membeli barangan kering seperti cili dan sayur-sayuran juga sudah melebihi RM400 sebulan.

“Kebiasaannya, saya berbelanja barang dapur sebulan dua kali, tetapi kalau sudah habis, saya akan keluar dan beli untuk tambah semula (stok),” katanya kepada MalaysiaNow.

Kata Jeyanthi, ini menjadikan, peruntukan keseluruhan bagi perbelanjaan barangan kering untuk tempoh sebulan sebanyak RM500 dan barangan basah sebanyak RM1000 bersamaan dengan RM250 setiap minggu.

Dalam pada itu, seorang lagi suri rumah dengan empat orang anak yang berkata kekerapan pembelian bahan mentah seperti ayam bagi keluarnya tidak selari dengan anggaran yang dicadangkan oleh J-KOM.

Menurut Rada, bilangan isi rumahnya seramai enam orang termasuk dirinya memerlukan lebih dua ekor ayam dalam tempoh seminggu.

Dia mengambil contoh, seekor ayam boleh dihabiskan hanya untuk sekali makan waktu tengah hari sahaja.

“Waktu malam saya sudah kena fikirkan apa lagi yang boleh digunakan untuk memasak,” katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah sebanyak RM250 diperuntukkan setiap minggu untuk membeli ayam dan ikan segar di pasar.

“Bukan setiap minggu boleh pergi beli ayam, kami pernah cuba masak sardin sahaja dan tambahkan telur untuk makan.”

Kembali di warung Jai, salah seorang pelanggannya mahu dikenali sebagai Bakhtiar pula mencabar ahli-ahli Kabinet untuk meneruskan kelangsungan hidup selama enam bulan akan datang menggunakan anggaran bajet perbelanjaan yang dicadangkan oleh J-KOM.

Dia menyifatkan mereka hanya boleh bertahan sekiranya menggunakan anggaran perbelanjaan itu bersama buruh asing yang tinggal di rumah-rumah kongsi.

“Saya bersangka baik, mungkin menteri-menteri yang buat harga (anggaran) itu pernah tinggal bersama pekerja Bangladesh atau pekerja kontrak pembinaan, sebab itu harganya logik.

“Ya, mereka itu memang makan nasi dan sihat, tetapi sekadar makan dan minum atau boleh jadi telur goreng sebiji,” katanya.