- Iklan -
Berita

Bekas pegawai menteri ditahan, disyaki minta sogokan RM25,000 lulus surat kewarganegaraan

Menurut SPRM, penjawat awam tersebut direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta rasuah berjumlah kira-kira RM25,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.

Menurut agensi anti rasuah itu, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan, semalam.

Menurut sumber SPRM, suspek tersebut yang merupakan bekas pegawai khas seorang menteri pada 2019 dikatakan meminta rasuah tersebut daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan terhadap anak kandungnya.

"Pada Jun lalu, suspek menghubungi individu terlibat yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015.

"Suspek memaklumkan bahawa surat kelulusan permohonan taraf warganegara ada padanya dan meminta individu terlibat membayar wang berjumlah RM 25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan tersebut," kata sumber itu.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 14 Julai setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi