- Iklan -
Berita

Polis selesai ambil keterangan Sanusi, kata Bukit Aman

Ia berhubung kenyataan menteri besar Kedah itu yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Polis mengesahkan telah selesai mengambil keterangan daripada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman merakam percakapan Muhammad Sanusi di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, semalam. 

“Polis kini dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu bercakap kepada pemberita di Alor Setar selepas memberi keterangan, Sanusi berkata beliau ditanya lima soalan ketika diambil keterangan.

Semalam, media melaporkan polis menerima laporan dan telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan  Sanusi berkaitan perkara itu.

Pada 29 Mei lepas, Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.