- Iklan -
Berita

Pulau Pinang negeri berdaulat, kata timbalan menteri

Ramkarpal Singh berkata kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang masih hak Kedah adalah tidak berasas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara bangunan ikonik di Pulau Pinang, Komtar, 31 Januari 2022.
Pemandangan udara bangunan ikonik di Pulau Pinang, Komtar, 31 Januari 2022.

Pulau Pinang merupakan negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan keabsahannya tidak boleh dipertikai, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Beliau berkata sejak zaman penjajahan British, Pulau Pinang diiktiraf sebagai antara Negeri Selat di bawah gabungan yang dikenali sebagai Straits Settlements atau Negeri-Negeri Selat.

“Susulan ini, beberapa perjanjian yang ditandatangani antara negeri Kedah dan pihak British telahpun dengan jelasnya mengiktiraf Pulau Pinang dan Seberang Perai (di tanah besar Pulau Pinang) sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

“Perjanjian tersebut termasuklah Perjanjian Kerajaan Britain dan Negeri Kedah pada 1923, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Ramkarpal berkata kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang masih hak Kedah adalah tidak berasas.

Semalam, Muhammad Sanusi dilapor berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah serta mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis. 

Ramkarpal berkata Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 juga menyatakan dengan jelas bahawa Pulau Pinang telah pun dijadikan sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu dan sebuah negeri yang berasingan daripada Kedah.

Memperinci perkara itu, beliau berkata pembentukan Persekutuan Tanah Melayu adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pada 1957 dan tidak boleh dinafikan bahawa Pulau Pinang turut diiktiraf sebagai antara negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan turut menjamin bahawa setiap negeri mempunyai Perlembagaan Negeri masing-masing yang memperuntukkan cara pengendalian Kerajaan Negeri termasuk Pulau Pinang.

“Selanjutnya, terdapat juga peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan perlu diberikan perhatian sejak pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Persekutuan Malaysia.

“Tiada sebarang bantahan yang pernah dibangkitkan oleh mana-mana pihak termasuk Kerajaan Negeri Kedah bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah,” katanya.

Ramkarpal berkata sehubungan itu, Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara seharusnya dihormati oleh semua lapisan masyarakat.