- Iklan -
Berita

Wanita ditahan kaut jutaan ringgit ‘berlagak’ jadi ejen Imigresen

Tiga lelaki warga asing berusia 42 hingga 48 tahun yang sedang berurusan dengan wanita terbabit turut ditahan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata wanita itu mengenakan bayaran RM2,500 untuk pendaftaran Rekalibrasi Tenaga Kerja dan RM8,000 untuk perbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata wanita itu mengenakan bayaran RM2,500 untuk pendaftaran Rekalibrasi Tenaga Kerja dan RM8,000 untuk perbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara.

Seorang wanita yang mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan menawarkan khidmat memperbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) kepada warga asing ditahan dalam Op Serkap di sebuah kondominium di Taman Melati Utama, Setapak, di Kuala Lumpur pagi kelmarin. 

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata siasatan mendapati wanita berumur 48 tahun itu bertindak seolah-olah seperti ejen Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) sejak setahun lepas dengan menawarkan khidmat itu kepada warga asing dan majikan dengan harga yang tinggi iaitu bagi pendaftaran RTK membabitkan RM2,500 dan perbaharui PLKS sebanyak RM8,000 walaupun Imigresen tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk melakukan urusan berkenaan. 

"Kita menjalankan risikan dan operasi selama sebulan apabila ada majikan yang membuat laporan mengenai aktiviti wanita terbabit. 

"Siasatan kita mendapati wanita ini menjalankan aktiviti tersebut dengan bantuan daripada rakannya yang dipercayai warga Bangladesh untuk mendapatkan pelanggan dan mengaut keuntungan sehingga jutaan ringgit," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam. 

Beliau berkata menerusi serbuan 11 pagi itu, tiga lelaki warga asing berusia 42 hingga 48 tahun yang sedang berurusan dengan wanita terbabit turut ditahan.  

"Kita merampas antaranya 314 pasport Bangladesh, sebuah komputer, telefon bimbit, 17 keping kad CIDB dan wang tunai RM61,550," katanya. 

Syamsul Badrin berkata pihaknya turut menjalankan serbuan di premis pejabat milik wanita berkenaan di Taman Sri Rampai, Setapak pada hari sama tangkapan dibuat kira-kira 12.20 tengah hari. 

Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas antaranya 53 pasport Bangladesh, 198 keping kad CIDB, tujuh buku rekod bayaran, lapan fail syarikat dan tiga keping lesen syarikat. 

Beliau berkata wanita dan tiga lelaki warga asing itu, kini berada dalam tahanan dan disiasat mengikut Akta Pasport 1959/63.