- Iklan -
Berita

Pendatang asing dalam ketidaktentuan selepas masih tidak bekerja

Tidak dapat dipastikan bagaimana pekerja itu akhirnya tidak diberikan kerja walaupun tiba di Malaysia dengan kontrak pekerjaan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan pekerja asing sedang beratur.
Gambar fail menunjukkan pekerja asing sedang beratur.

Terkandas tanpa kerja selama berbulan-bulan, ratusan pendatang dari Asia Selatan di Malaysia mengeluh dan putus harapan selepas gagal mendapatkan pekerjaan seperti dijanjikan oleh ejen pengambilan pekerja asing yang dibayar ribuan ringgit.

Kira-kira 500 pendatang asing – kebanyakannya lelaki muda dari Nepal dan Bangladesh yang tiba di Malaysia sejak Disember – menghabiskan hari-hari mereka di bilik asrama yang sesak atau di kafeteria terbuka yang terletak 40km dari Kuala Lumpur. 

Menurut pendatang tersebut, mereka masuk ke negara ini menggunakan visa kerja selama tiga bulan bagi mendapatkan permit kerja akan tetapi hingga ke hari ini masih belum mendapatkannya.

Kebanyakan pendatang bimbang untuk meninggalkan premis berkenaan disebabkan status mereka masih tidak jelas, seorang pekerja memberitahu Reuters di kemudahan tempat mereka tinggal. 

Ramai yang mengatakan ejen pekerja asing mengambil pasport mereka dan terus menjanjikan mereka pekerjaan. 

"Kami semua tertekan dan tidak berdaya. Kami telah membayar duit yang banyak untuk kerja itu. Bagaimana saya boleh membayar balik itu jika saya tidak mempunyai pekerjaan?" kata seorang pendatang Nepal di asrama itu.

Lelaki berusia 23 tahun itu, yang enggan namanya disiarkan kerana khuatir dikenakan tindakan daripada ejen, telah menandatangani kontrak dua tahun dengan sebuah syarikat pembersihan Malaysia tetapi belum mula bekerja. 

Katanya, dia, seperti pendatang lain di sana, telah meminjam 300,000 rupee Nepal (AS$2,300) untuk membayar ejen pekerja asing itu. 

Dia dijanjikan gaji bulanan RM2,062 (AS$464.94) sebulan. 

Pekerja di kemudahan itu semuanya menceritakan kisah yang sama: apabila tiba di Malaysia, agensi pengambilan pekerja asing memberitahu mereka tiada pekerjaan buat masa ini dan membawa mereka ke penginapan ini untuk menunggu. 

Mereka ketika itu diberitahu bahawa akan diambil bekerja tetapi dalam pada masa yang sama, mereka mesti membayar makanan mereka sendiri tanpa gaji. 

Tidak dapat dipastikan bagaimana pekerja itu akhirnya tidak diberikan pekerjaan walaupun tiba di Malaysia dengan kontrak pekerjaan dan berjanji bahawa visa kerja sementara mereka akan kekal sewaktu tiba. Malaysia bulan lepas melancarkan siasatan berhubung perkara itu.

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada Puncak Jupiter Management Services dan Star Domain Resources, yang disenaraikan sebagai majikan pada beberapa dokumen perjalanan pekerja, namun tidak berjaya.

Salah satu agensi pengambilan pekerja yang digunakan, Amial International, turut gagal dihubungi ketika Reuters cuba mendapatkan maklum balas.

Malah, Kementerian sumber manusia dan Jabatan Buruh juga gagal dihubungi. Bagaimanapun, kementerian itu telah berjanji untuk mencari pekerjaan bagi 226 pekerja asing yang terkandas dari Bangladesh dan Nepal.