- Iklan -
Berita

Capital A, AirAsia X masih dalam senarai PN17

AirAsia X sebelum ini mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh masa penyerahan pelan penyusunan semula untuk kali kedua.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.
Ibu pejabat Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

AirAsia X Berhad dan syarikat induk AirAsia, Capital A Berhad, masih berada dalam senarai Nota Amalan 17 (PN17), demikian menurut senarai yang dikeluarkan Bursa Securities hari ini.

Menurut kenyataan pengawal selia pasaran itu, sehingga 2 Mei, sebanyak 29 syarikat atau 3.06% daripada 949 syarikat yang disenaraikan dalam Pasaran Utama dan Pasaran Ace Bursa Securities kini diklasifikasikan sebagai PN17 dan Nota Panduan 3 (GN3).

Terdahulu, kenyataan itu mengumumkan Zelan Berhad menjadi syarikat terbaru yang menyertai status PN17.

Capital A yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Berhad, tergolong dalam status PN17 bermula 14 Januari 2020 manakala AirAsia X pada 27 Oktober 2021.

Ekoran itu, kedua-dua syarikat terbabit perlu menyerahkan pelan penyusunan semula kepada Bursa Malaysia yang mana AirAsia X sepatutnya berbuat demikian pada Oktober 2022 manakala Capital A diberi tempoh sehingga 7 Julai depan.

AirAsia X bagaimanapun telah memohon pelanjutan daripada Bursa Securities untuk menyerahkan pelan penyusunan semula syarikat itu pada 28 April lalu, sebelum syarikat penerbangan tambang murah itu pada 12 April telah memohon sekali lagi untuk melanjutkan tarikh penyerahan pada 28 Julai tahun ini.

AirAsia X dalam pengumuman Bursa Malaysia hari ini memaklumkan bahawa syarikat itu dan penasihat yang dilantik kini sedang merangka dan atau menilai cadangan pelan penyusunannya bagi menstrukturkan semula perniagaan dan keadaan kewangan.

"Pada 12 April, bagi pihak Ahli Lembaga Pengarah, AmInvestment Bank Berhad mengumumkan bahawa syarikat telah mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi melanjutkan tempoh masa sehingga tiga bulan daripada 29 April 2023 kepada 28 Julai untuk syarikat menyerahkan pelan penyusunan semula kepada Bursa Securities," katanya.

"Setakat 2 Mei 2023, keputusan Bursa Securities berhubung permohonan itu masih belum ada jawapan."