- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan melepas, membebaskan Sam Ke Ting dalam kes basikal lajak

Sam Ke Ting sebelum ini diberi penangguhan daripada menjalani hukuman penjara dan denda, serta dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kerani Sam Ke Ting (tengah) bersama peguamnya di Istana Kehakiman Putrajaya pada 31 Mac. Gambar: Bernama
Kerani Sam Ke Ting (tengah) bersama peguamnya di Istana Kehakiman Putrajaya pada 31 Mac. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan kerani Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

Panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Hashim Hamzah dan Azman Abdullah membuat keputusan secara sebulat suara sekali gus mengenepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Sam.

Sam pada mulanya dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 18 November 2019. 

Bagaimanapun, pada 18 Februari 2021, hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menyerahkan semula kes itu ke Mahkamah Majistret untuk Sam membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu. 

Pada 10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Sam pada akhir kes pembelaan, selepas itu pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan Sam atas kesalahan memandu secara melulu.

Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000. 

Sam diberi penangguhan daripada menjalani hukuman penjara dan denda, serta dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.