- Iklan -
Berita

Pencarum boleh pinjam bank dengan cagaran KWSP bermula 7 April

Hanya ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon untuk fasa pertama, manakala untuk permohonan fasa kedua akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Menurut KWSP, ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon menerusi bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Menurut KWSP, ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon menerusi bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperincikan mekanisme serta terma dan syarat bagi Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) yang akan dilaksanakan dalam dua fasa, bermula 7 April bagi fasa satu. 

Menurut KWSP dalam kenyataan hari ini, ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon menerusi bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN), selain mempertimbangkan penyertaan lebih banyak bank.

“Semasa fasa satu, yang akan bermula pada 7 April dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian,” menurut KWSP.

Sementara itu, menurut KWSP,  tarikh mula fasa dua untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

Institusi itu memaklumkan dengan kemudahan berkenaan semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun Dua KWSP. 

“Jumlah pembiayaan maksimum ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun Dua KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun,” menurut kenyataan itu.

Jelas KWSP, kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh bank yang mengambil bahagian di bawah program itu adalah antara 4% hingga 5%, lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15%.

“Sekiranya ahli membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun Dua ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada mana-mana peringkat umur antara 50 dan 54 tahun mengikut pilihan ahli.

“Jika ahli memilih Pengeluaran Umur 55 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun Dua ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada umur 55 tahun,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, KWSP memaklumkan jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli.

Menurut badan itu, simpanan ahli akan kekal dalam Akaun Dua dan terus menerima dividen tahunan KWSP, seterusnya membolehkan mereka menerima manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan, di samping masih memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka.

“Ahli boleh membatalkan notis awal Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan memaklumkannya kepada KWSP sekiranya telah menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka.

“Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon untuk pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk pengeluaran prapersaraan lain daripada KWSP,” katanya

Menurut KWSP, FSA2 bertujuan membantu ahli mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan dan simpanan dalam Akaun Dua hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991.

“Pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka.”

Menurut KWSP, permohonan pembiayaan peribadi boleh dibuat secara dalam talian menerusi institusi perbankan yang mengambil bahagian dan ahli perlu melakukan semakan kelayakan sebelum memohon di https://fsa2.kwsp.gov.my  yang turut menyediakan soalan-soalan lazim berserta jawapan berkenaan fasiliti itu bermula 5 April ini.

Ahli juga perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit menerusi terminal kendiri di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan kod pemberian kuasa transaksi (TAC) untuk pengesahan identiti.

Untuk maklumat lanjut mengenai FSA2, ahli boleh merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000.