- Iklan -
Berita

Umno cadang Ab Rauf sebagai ketua menteri Melaka baharu

Ia susulan peletakan jawatan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri ke-12, semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh
Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh

Umno mencadangkan nama Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh sebagai ketua menteri Melaka ke-13.

Presidennya  Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah mengutus warkah cadangan itu kepada Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam.

“Dengan ini parti mencadangkan bagi warkah itu Ab Rauf sebagai ketua menteri baharu,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana Kebangsaan di Parlimen hari ini.

Ia susulan peletakan jawatan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri ke-12, semalam. 

Ditanya sebab Sulaiman meletak jawatan, Zahid berkata ia dilakukan atas faktor kesihatan.

Semalam, Zahid yang juga timbalan perdana menteri mengesahkan Sulaiman, Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka. 

Menurutnya, Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu semasa pertemuan di pejabatnya di Parlimen, semalam.

Sementara itu, mengulas sama ada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan turut dibarisi wakil Pakatan Harapan, Zahid berkata beliau berharap perkara itu dapat dilaksanakan dengan mengambil semangat kerajaan campuran di peringkat nasional. 

“Saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat di Melaka tetapi juga rakyat keseluruhannya,” katanya.