- Iklan -
Berita

Najib, Arul Kanda bebas kes pinda laporan audit 1MDB

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan kedua-dua mereka.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.

Beliau berkata Arul Kanda, yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan telah memberi keterangan yang benar dan jelas semasa perbicaraan.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

Dua lagi kes membabitkan pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.